Zionis sakan 'berTikTok' sepanjang Perang Gaza

Unit infantri IDF menceroboh tengah Gaza.
Unit infantri IDF menceroboh tengah Gaza.
A
A
A

TEL AVIV - Sebuah dokumentari panjang mendedahkan perbuatan jenayah Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dikongsikan di beberapa platform media sosial sepanjang setahun perang genosid di Genting Gaza.

Sejak dari awal kempen pencerobohan ke atas wilayah itu dilancarkan, anggota IDF tanpa perikemanusiaan menghasilkan video TikTok dengan aksi menjengkelkan meskipun sedang berada di medan tempur.

Menurut dokumentari berjudul Gaza oleh Unit Penyiasatan Al Jazeera diterbitkan pada Khamis lalu, rejim Zionis telah menyalahgunakan platform seperti Instagram, YouTube dan Facebook untuk mempertontonkan kepada dunia betapa zalimnya perbuatan mereka terhadap penduduk Palestin.

Ia turut membongkar identiti si pelaku seperti pangkat dan unit mereka termasuk pangkalan data lebih dua ribu akaun media sosial yang memaparkan bukti gambar dan video kekejaman golongan itu.

Antara kezaliman yang dilakukan mereka akan perobohan sewenang-wenangnya kawasan kejiranan penduduk Palestin dan pembunuhan di luar undang-undang termasuk menjadikan wanita serta kanak-kanak sebagai sasaran bunuh secara suka-suka.

Dokumentari itu juga menunjukkan bagaimana sebuah unit IDF sengaja memusnahkan Khirbet Khaza, sebuah bandar kecil yang terletak di seberang tembok pemisah antara Genting Gaza dan Kibbutz Nir Oz, selatan Israel yang menjadi sasaran Operasi Taufan al-Aqsa pada 7 Oktober 2023.

Anggota rejim Zionis itu memuat naik video memaparkan kebinasaan bandar itu dengan suara sinis, ‘kami gembira musnahkan ‘kampung Nazi’ ini dan telah bekerja keras selama dua minggu. Kami berjaya bom seluruh perkampungan’.

Pada akhir klip itu, ia turut memuat naik foto sebelum dan selepas operasi ketenteraan tersebut dijalankan.

Artikel Berkaitan:

Menerusi rakaman berasingan dikongsi di Instagram, sepasukan anggota IDF meninggalkan mesej tertera, ‘misi selesai. Kami sudah binasakan seluruh perkampungan sebagai tindak balas dendam terhadap apa yang Hamas lakukan di Kibbutz Nir Oz’.

Tayangan dokumentari dalam talian itu juga mendedahkan klip dimuat naik di YouTube oleh anggota Batalion Pasukan Payung Terjung ke-202 yang menunjukkan tiga pemuda Palestin tidak bersenjata ditembak mati oleh unit penembak tepat IDF.

Filem itu menyokong siasatan sebelum ini yang membongkar bagaimana orang awam Palestin dibunuh penembak tepat Zionis meskipun mereka bukan dikategorikan sebagai musuh.
Filem itu menyokong siasatan sebelum ini yang membongkar bagaimana orang awam Palestin dibunuh penembak tepat Zionis meskipun mereka bukan dikategorikan sebagai musuh.

Filem itu menyokong siasatan sebelum ini yang membongkar bagaimana orang awam Palestin dibunuh penembak tepat Zionis meskipun mereka bukan dikategorikan sebagai musuh.

Sebagai contoh, seorang warga emas maut ditembak tanpa belas kasihan pada Januari lalu hanya kerana cucunya memegang bendera putih yang pernah menjadi simbol bukan ancaman ketika fasa awal perang genosid tersebut.

--SH: BUKTI RELEVAN

Dokumentari itu juga menceritakan pengalaman bekas tahanan, Fadi Bakr yang pernah ditempatkan di kem tahanan Sde Teiman.

Bakr menyatakan dia trauma apabila mengimbau semula detik hitam apabila melihat saudaranya ‘diperkosa’ anjing.

“Zionis mengikat kaki dan tangannya dalam posisi tertiarap. Kira-kira lapan atau sembilan anggota IDF terlibat kejadian itu. Mereka melondehkan seluarnya. Seorang kapten mereka menyembur sesuatu pada belakang tubuhnya.

“Mereka melepaskan seekor anjing dan dia ‘dinodai’ di hadapan mata saya. Ia sememangnya tidak terjangkau dek akal manusia,” katanya dalam nada hiba.

Kandungan dokumentari itu turut menyebut tentang peranan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden yang menjadi orang atasan paling utama bersekongkol dengan jenayah kejam Zionis.

Selain itu, Britain juga dikatakan bersubahat apabila ia mengerahkan pesawat peninjau ke Gaza dari pangkalan tentera udara Akrotiri di Cyprus.

Peguam Hak Asasi Manusia terkemuka, Rodney Dixon berpendapat dokumentari itu boleh menjadi bukti relevan untuk dikemukakan kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

“Ia tidak boleh disangkal lagi dan yang paling dinantikan oleh pendakwa raya,” ujarnya.

Kepimpinan ‘ekstremis’ Israel telah berdepan beberapa pertuduhan atas penglibatan mereka dalam jenayah perang dan jenayah kemanusiaan di wilayah Palestin.

Pada Mei lalu, pendakwa raya ICC, Karim Khan turut memohon waran tangkap ke atas Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu dan Menteri Pertahanan, Yoav Gallant.

Tetapi, tiada tindakan tegas diambil sehingga kini malah Kabinet perang Israel semakin galak berperang dan terus memperluaskan kempen pencerobohan mereka ke Lubnan yang berisiko menjadi ‘Gaza kedua’. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!