Ganjaran buru 'serigala merah' di Selangor
SHAH ALAM - Kerajaan negeri mempertimbang pemberian ganjaran kepada mereka yang berjaya menangkap ikan baung ekor merah bagi mengurangkan populasi ikan pendatang itu di Sungai Selangor.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sebelum ini insentif RM1 telah ditawarkan bagi setiap kilogram tangkapan ikan bandaraya sebagai langkah memulihara sungai dan spesies tempatan.
“Saya yakin macam mana kita tangani ikan bandaraya begitu juga tawaran untuk menangkap ikan baung ekor merah seperti sebab ia mengganggu ekosistem.
“Ini mungkin langkah-langkah di bawah Jabatan Perikanan dan saya akan dapatkan perinciannya. Hal ini akan dibincangkan dengan terperinci oleh Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Ir Izham Hashim,” katanya kepada Sinar Harian.
Terdahulu, baung ekor merah yang turut digelar 'serigala merah' kembali menarik perhatian kalangan kaki pancing susulan Jabatan Perikanan (DOF) Negeri Selangor dan Universiti Malaysia Terengganu menawarkan ganjaran wang tunai.
Tawaran itu menyebut, sebanyak RM50 diberikan kepada yang berjaya menangkap ikan berkenaan yang mempunyai tag atau bertanda di sekitar Sungai Rantau Panjang, Bestari Jaya bermula Ogos lalu sehingga 30 September.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!