Selangor tubuh pasukan khas teliti program untuk kanak-kanak GISBH

Mohammad Fahmi dan Anfaal Saari.
Mohammad Fahmi dan Anfaal Saari.
A
A
A

SHAH ALAM - Pasukan khas dibentuk di peringkat kerajaan negeri untuk meneliti program pemulihan khusus untuk kanak-kanak yang ditemui di rumah-rumah amal GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di Selangor.

Pasukan khas atau 'task force' ini ditubuhkan berdasarkan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor berlangsung 2 Oktober lalu dan dipengerusikan Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi, Dr Mohammad Fahmi Ngah dan Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor, Anfaal Saari.

Dalam satu kenyataan bersama, Mohammad Fahmi dan Anfaal memaklumkan, pada peringkat awal pasukan khas itu dianggotai wakil-wakil daripada Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS).

Turut terlibat ialah Lembaga Zakat Selangor (LZS), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jabalan Agama Islam Selangor (JAIS), pakar-pakar psikologi dan pendidikan kanak-kanak, Yayasan Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI) serta Yayasan Selgate.

"Pasukan ini akan memberikan tumpuan kepada kaedah-kaedah pemulihan bukan sahaja isu-isu aqidah tetapi juga kebajikan, isu kesihatan dan perkembangan mental-fizikal.

"Ia untuk memastikan kanak-kanak ini dapat dipulihkan dan diintegrasikan semula ke dalam masyarakat walaupun selepas tempoh pemulihan rasmi selama enam bulan ini.

"Mesyuarat pertama pasukan khas ini akan berlangsung pada 11 Oktober 2024," kata mereka dalam satu kenyataan bersama pada Selasa.

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!