Video peniaga basuh kuali guna air longkang tular
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Tular video di media sosial memaparkan seorang peniaga roti canai membasuh kuali dipercayai menggunakan air longkang hingga mencetuskan kemarahan orang awam.
Berdasarkan hantaran video yang dimuat naik seorang pengguna TikTok pada Isnin, peniaga terbabit kelihatan cuak apabila perbuatannya dirakam dan dia berlalu pergi tanpa reaksi atau penjelasan.
Bagaimanapun, lokasi kejadian tersebut tidak dapat dikenal pasti dan tidak diketahui sama ada pihak berkuasa telah mengambil tindakan atau sebaliknya.
“Penjual roti canai basuh kuali mereka menggunakan air longkang.
“Jadi, sangat kotorlah,“ katanya ringkas.
Setakat ini, hantaran berdurasi 24 saat itu tular di beberapa platform media sosial Facebook dan X selain TikTok, malah menerima lebih 48,000 tanda suka, 10,300 komen serta 34,000 perkongsian.
Difahamkan, tiada maklumat terbaharu yang diperoleh rentetan daripada perbuatan jijik terbabit, namun orang ramai menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk melakukan siasatan dengan kadar segera.
Menerusi ruangan komen di TikTok, majoriti warganet mengecam tindakan peniaga tepi jalan berkenaan yang dipercayai warga asing dan didakwa langsung tidak mengamalkan kebersihan dalam berniaga.
Kebanyakannya turut melampiaskan amarah dan kesal dengan mengatakan budaya peniaga luar memang sukar dikawal lebih-lebih lagi ketika menjalankan operasi perniagaan restoran atau kedai makan.
“Berhati-hati selalu yang suka makan di luar, memasak sendiri lebih bagus,“ ujar Ross Merah.
“Pendapat peribadi saya, ia bukan pasal bangsa itu atau ini tapi masalah individu dan bukan juga kerana agama,“ kata Abang Jim pula.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!