Pakar PBB sertu tindakan selepas setahun konflik Israel-Hamas
ATHENS - Pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin menyeru tindakan segera untuk menamatkan kitaran keganasan dan mendesak akauntabiliti selepas setahun konflik Israel-Hamas, lapor Agensi Anadolu.
Pakar itu dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa tahun lepas telah menyaksikan peningkatan krisis yang dahsyat dalam penderitaan manusia dengan kesan yang teruk terhadap rakyat Palestin, rakyat Israel dan seluruh rantau Asia Barat.
"Pelanggaran serius undang-undang antarabangsa seperti pembunuhan, menjadikan objek awam sasaran serangan, serangan tidak seimbang dan sembarangan, kebuluran, pemindahan secara paksa, pengusiran sewenang-wenangnya, keganasan seksual, penganiayaan serta penghinaan terhadap nyawa dan maruah, termasuk tidak menghormati mayat yang dilakukan oleh tentera Israel sejak bermulanya konflik di Gaza pada Oktober 2023 merupakan jenayah perang dan mungkin jenayah terhadap kemanusiaan," kata pakar.
Menarik perhatian kepada latar belakang sejarah dan politik pada 7 Oktober, pakar itu berkata: "dikaburkan oleh naratif palsu dan diskriminasi bertahun-tahun, pengasingan kaum dan/atau apartheid yang dilakukan terhadap rakyat Palestin, seperti yang diakui oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa pada 19 Julai 2024.
Menurut mereka, konflik itu berisiko membawa kepada pemadaman kehadiran rakyat Palestin di wilayah Palestin yang diduduki serta realiti tidak berkesudahan mengenai keadaan yang tidak terjamin dan penderitaan besar bagi rakyat Palestin dan Israel.
Mereka juga menggesa masyarakat antarabangsa memastikan penghentian pemindahan senjata oleh negara dan syarikat kepada Israel "untuk mengelakkan tanggungjawab dalam jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan secara bersubahat."
Israel terus melancarkan serangan kejam ke atas Semenanjung Gaza bermula pada 7 Oktober tahun lepas, walaupun terdapat resolusi Majlis Keselamatan PBB yang menggesa gencatan senjata segera.
Hampir 42,000 orang telah terbunuh sejak itu, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak manakala lebih 97,100 yang lain cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan. - Bernama-Anadolu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!