Komuniti antarabangsa perlu bersatu ambil tindakan dakwa Israel
PUTRAJAYA - Komuniti antarabangsa digesa untuk bersatu mengambil tindakan tegas dan mendakwa rejim Zionis Israel atas jenayahnya terhadap rakyat Palestin.
Kementerian Luar Negeri (KLN) dalam satu kenyataan memaklumkan, Malaysia memberi sokongan padu terhadap perjuangan rakyat Palestin untuk penubuhan sebuah negara yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kota.
"Malaysia akan terus bekerjasama dengan negara-negara sehaluan untuk memastikan keanggotaan penuh Palestin di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)," kata kenyataan itu pada Selasa.
Menurut kenyataan itu, dunia tidak boleh terus menutup mata terhadap nyawa yang hilang dan masa depan rakyat Palestin yang dirampas.
"Sepanjang setahun keganasan yang dilakukan Israel, rejim Zionis telah membunuh secara purata 115 rakyat Palestin setiap hari dan mencederakan 274 lagi yang kebanyakannya warga emas, wanita serta kanak-kanak tidak bersalah," kata kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, meskipun pelbagai rundingan, resolusi PBB dan Pendapat Penasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) telah dibuat, kempen keganasan dan penindasan rejim Zionis Israel berterusan tanpa tanda berhenti.
"Rejim ini tetap berdegil, melaksanakan pembunuhan, memperluas penempatan haram, memusnahkan infrastruktur penting dan kini melanggar kedaulatan Lubnan.
"Di mana-mana di dunia, pelanggaran undang-undang antarabangsa, undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan hak asasi manusia, termasuk pembunuhan dan jenayah perang, tidak boleh dibiarkan tanpa hukuman.
"Hanya Israel bertindak tanpa sebarang akibat. Ini tidak boleh diterima," kata kenyataan itu.
Jelas kenyataan itu, Israel tidak boleh lagi berlindung di sebalik sejarahnya untuk melakukan pembunuhan kejam terhadap rakyat Palestin.
"Semua negara mesti segera menghentikan kekejaman ini," kata kenyataan itu.
Setahun berlalu, serangan Israel ke atas Gaza mengakibatkan kemusnahan yang meluas, kehilangan nyawa yang tidak terhitung dan krisis kemanusiaan yang berpanjangan.
Menurut data terkini yang dikeluarkan oleh Forum Antarabangsa Palestin untuk Media dan Komunikasi (Tawasol) pada 1 Oktober 2024, angka kematian daripada konflik ini amat mengerikan.
Lebih 51,615 orang disahkan meninggal dunia atau hilang, termasuk 41,615 kematian yang merangkumi 16,859 kanak-kanak dan 11,429 wanita.
Selain itu, 10,000 orang masih belum dapat dikesan, ramai dipercayai tertimbus di bawah runtuhan atau ditinggalkan di jalanan.
Seramai 96,210 orang cedera, dengan wanita dan kanak-kanak menyumbang 69 peratus daripada jumlah mangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!