[VIDEO] Inspektor polis kekal lepas, bebas tuduhan ambil dadah
SEREMBAN - Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa mengekalkan keputusan Mahkamah Majistret yang melepaskan dan membebaskan seorang pegawai polis berpangkat inspektor atas pertuduhan mengambil dadah empat tahun lalu.
Hakim, Datuk Rohani Ismail membuat keputusan itu selepas menolak rayuan dikemukakan pihak pendakwaan.
"Setelah meneliti semua surat cara yang difailkan dalam membuat rayuan dan selepas menimbang hujahan dikemukakan, saya memutuskan rayuan perayu adalah ditolak.
"Justeru itu keputusan diberi oleh Mahkamah Majistret pada 6 November tahun lalu adalah dikekalkan. Saya berpuas hati dengan dapatan dan keputusan yang dibuat dan tidak bercadang mengubah atau memindanya," katanya pada prosiding yang berlangsung secara sidang video.
Mengikut pertuduhan, Roslan Sam, 44, didakwa mengguna dan memberikan kepada dirinya dadah berbahaya iaitu ketamin, emphatamin, methamphetamin, methylenedioxy-emphatamin dan methylenedioxy methamphetamin.
Kesalahan itu dilakukan pada jam 3 pagi di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban pada 27 September 2020 dan didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Jika didapati bersalah, tertuduh boleh dihukum bawah akta sama, serta denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.
Sepanjang perbicaraan yang bermula pada 2021, seramai tujuh saksi memberi keterangan di mahkamah.
Pada 6 November tahun lalu, Mahkamah Majistret memutuskan tertuduh dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan.
Namun, pihak pendakwaan telah memfailkan rayuan terhadap keputusan itu pada 16 November lalu.
Tertuduh diwakili peguam, Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris manakala pihak pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nur Aqilah Syarfa Nik Zaidi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!