Kedah Digital Library dijangka siap Mac ini: Mukhriz

Mukhriz (tengah) mendengar penerangan berkenaan proses pembinaan KDL yang kini memasuki 51 peratus bagi fasa pertama. Turut kelihatan Asmirul Anuar (kiri).
Mukhriz (tengah) mendengar penerangan berkenaan proses pembinaan KDL yang kini memasuki 51 peratus bagi fasa pertama. Turut kelihatan Asmirul Anuar (kiri).
A
A
A

ALOR SETAR - Projek Kedah Digital Library (KDL) yang sedang dibina di Memorial Tunku Abdul Rahman, Taman Jubli Perak, dekat sini sudah mencapai 51 peratus bagi fasa pertama.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, projek tersebut berjalan mengikut jadual yang telah ditetapkan dan bakal siap pada penghujung Mac ini.

Menurutnya, bajet keseluruhan pembinaan projek tersebut berjumlah RM15 juta yang disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan dan pembinaannya melalui dua fasa iaitu fasa pertama berjumlah RM3.7 juta dan fasa kedua pula melibatkan baki bajet keseluruhan yang telah diperuntukkan.

"Saya lihat proses pembinaan yang lebih baik dan harap siap dalam tempoh yang telah ditetapkan.

"Saya yakin KDL akan menawarkan kemudahan kepada rakyat Kedah, sangat kondusif untuk membaca dan membuat kerja-kerja dalam keadaan tenteram. Ini yang kita tawarkan kepada rakyat Kedah, ada kemudahan yang begitu canggih di dalam taman," katanya pada sidang akhbar selepas melawat tapak projek pembinaan KDL, hari ini.

Menurutnya, antara keunikan perpustakaan ini adalah melibatkan penaiktarafan bangunan lama bagi fasa pertama manakala fasa kedua pula mempunyai bangunan baru yang lebih moden.

"Kita belajar dari Pulau Pinang. Di sana ada dua bangunan yang sangat popular dan apabila kita lihat dengan mata sendiri bagaimana satu idea itu telah diterjemahkan dalam bentuk bangunan yang dikunjungi oleh begitu ramai orang setiap hari. Di situ kita nampak ada permintaan untuk kemudahan seperti ini.

"Konsep ini juga kita ambil dari perpustakaan Pulau Pinang yang mana asalnya bangunan lama yang sebelum itu tidak diguna pakai mengikut potensi yang ada,"katanya.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama Exco Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni dan Budaya dan Pembangunan Keusahawanan Kedah, Asmirul Anuar Aris.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!