Bunuh Sosilawati: Bekas peguam, pekerja ladang kekal dihukum gantung

Pada 2010, Pathmanabhan (kanan), Thilaiyalagan, Matan, serta Kathavarayan dibawa ke mahkamah berhubung kes membunuh Sosilawati dan tiga pembantunya. Gambar kanan: Allahyarham Sosilawati
Pada 2010, Pathmanabhan (kanan), Thilaiyalagan, Matan, serta Kathavarayan dibawa ke mahkamah berhubung kes membunuh Sosilawati dan tiga pembantunya. Gambar kanan: Allahyarham Sosilawati
A
A
A

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan pada Selasa, mengekalkan hukuman mati terhadap seorang bekas peguam dan seorang lagi pekerja ladang kerana membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga pembantunya pada 14 tahun lalu.

Panel tiga hakim dipengerusikan, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara memutuskan demikian selepas pemohon, N Pathmanabhan, 54, dan T Thilaiyalagan, 32, untuk mengetepikan hukuman gantung itu.

Sementara seorang pekerja ladang, R Kathavarayan, 44, yang juga dihukum gantung sebelum ini, menarik balik balik permohonan semakan hukuman mati itu.

Susulan itu, lelaki itu kekal hukuman gantung seperti mana yang diputuskan Mahkamah Persekutuan sebelum ini.

“Permohonan ditolak, hukuman gantung dikekalkan,” kata Tengku Maimun yang bersidang bersama Hakim, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais.

Semasa prosiding pendakwaan, ia dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar dan Tetralina Ahmed Fauzi manakala semua pemohon diwakili peguam, Amer Hamzah Arshad, Joshua Tay H'ng Foong dan Manjeet Singh Dhillon.

Pada 23 Mei 2013, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhi semua perayu hukuman mati selepas didapati bersalah membunuh Sosilawati, 47; pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38; peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; dan pembantu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Mereka didapati bersalah melakukan kesalahan itu di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, di Banting, Selangor antara jam 8.30 dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.

Artikel Berkaitan:

Pada 4 Disember 2015, Pathmanabhan, R Matan, Thilaiyalagan dan Kathavarayan gagal dalam rayuan mereka di Mahkamah Rayuan.

Dua tahun kemudian, iaitu 16 Mac 2017, Pathmanabhan, Thilaiyalagan, dan Kathavarayan kekal ke tali gantung, selepas sekali lagi rayuan mereka ditolak.

Bagaimanapun, R Matan, 33, bernasib baik apabila rayuan pekerja ladang itu dibenarkan oleh lima panel hakim.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!