[VIDEO] Berebut parkir, peguam mengaku tidak bersalah cederakan wanita

A
A
A

IPOH - Seorang peguam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ipoh pada Selasa atas pertuduhan mencederakan seorang wanita dalam kejadian perebutan tempat letak kereta, Februari lalu.

Seorang peguam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ipoh pada Selasa atas pertuduhan mencederakan seorang wanita.
Seorang peguam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ipoh pada Selasa atas pertuduhan mencederakan seorang wanita.

Tertuduh, Goh Suan Poi, 72, membuat pengakuan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Evangelin Simon Silvaraj.

Wanita itu didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan terhadap Ashvinder Kuar Naranya Singh, 35, yang juga peguam di kawasan parkir sebuah pasar raya di Ipoh jam 6.46 petang pada 18 Februari lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Monisha Pandey menawarkan jaminan sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh yang diwakili Peguam Khairil Azwar Khalil memohon agar tidak dikenakan jaminan mengambil kira perkhidmatannya sebelum ini sebagai guru bermula 1976 hingga 1997 sebelum bertukar karier kepada peguam sehingga sekarang.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!