Individu ceroboh landasan punca LRT laluan Kelana Jaya lewat

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tindakan seorang individu menceroboh masuk kawasan landasan antara Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Pasar Seni dan Stesen LRT KL Sentral jam 7.08 malam pada Isnin menyebabkan berlaku gangguan operasi.

Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) dalam satu kenyataan memaklumkan, kakitangan pusat kawalan operasi mengesan suspek menceroboh kawasan landasan melalui kamera litar tertutup (CCTV) yang berada di platform.

Atas faktor keselamatan serta mengikut piawaian standard operasi (SOP), bekalan kuasa terpaksa dimatikan bagi membolehkan polis bantuan serta petugas stesen masuk ke kawasan landasan untuk mencari suspek.

Menurut kenyataan itu, hasil siasatan mendapati, tiada kelibat suspek ditemui setelah pemeriksaan landasan dijalankan beberapa kali oleh kakitangan operasi.

“Suspek dipercayai telah melarikan diri tanpa dikesan,” kata Rapid Rail dalam kenyataan tersebut di laman Facebooknya pada Selasa.

Berikutan itu, pasukan Polis Bantuan Prasarana membuat satu laporan polis di Balai Polis Jalan Dang Wangi bagi tindakan selanjutnya.

“Perkhidmatan tren Laluan Kelana Jaya kembali pulih sepenuhnya pada jam 8.01 malam dan kekerapan perkhidmatan tren diselaraskan secara berperingkat.

“Siasatan menyeluruh akan dijalankan bersama pihak berkuasa bagi menyiasat insiden pencerobohan ini agar langkah keselamatan dapat diperkemaskan bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang lagi,” kata kenyataan.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!