Seludup kokain RM12.05 juta dalam ruang pendingin hawa kontena
JOHOR BAHRU - Taktik sindiket dadah antarabangsa menyeludup 60.2 kilogram kokain bernilai RM12.05 juta di ruang pendingin hawa kontena digagalkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor, pada Selasa lalu.
Pengarahnya, Aminul Izmeer Mohd Sohaimi berkata, rampasan dilakukan jam 11.15 pagi di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Gelang Patah di Iskandar Puteri itu hasil maklumat dan risikan selama sebulan oleh Cawangan Risikan Zon Selatan.
Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, kontena tersebut didapati membawa 19 tan udang segar sejuk beku bernilai RM735,000 yang diikrarkan sebagai barang dagangan.
"Bagaimanapun, hasil pemeriksaan rapi kita menemukan 62 bungkusan plastik mengandungi serbuk mampat berwarna putih disyaki kokain yang disembunyikan di ruangan pendingin hawa.
"Berdasarkan maklumat yang kita perolehi, kontena itu telah berada di pelabuhan tersebut dalam dua atau tiga hari sebelum operasi sitaan dibuat," katanya.
Beliau berkata, hasil maklumat mendapati kontena dari India itu transit di pelabuhan berkenaan sebelum dibawa ke Miami, Amerika Syarikat.
Tambahnya, rampasan tersebut merupakan kali kedua dengan modus operandi yang sama pada Mei lalu.
“Kes sebelum ini adalah pada Mei lalu yang juga rampasan kokain bernilai RM10.3 juta disorok dalam pendingin udara dalam kontena di Pelabuhan Tanjung Pelepas dengan mengikrarkan barang dibawa adalah bawang.
“Kali ini juga sama modus operandinya. Namun kita percaya aktiviti ini dilakukan sindiket penyeludupan dadah yang berbeza,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!