Syarikat dari China minat ambil alih MAPS
IPOH - Dua pelabur termasuk syarikat dari China dikenal pasti berminat untuk mengambil alih Movie Animation Park Studios (MAPS) yang ditutup pada 28 Januari lalu.
Exco Pelaburan, Industri dan Pembangunan Wilayah Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, selain syarikat luar negara, satu syarikat tempatan yang mempunyai rakan kongsi luar negara turut berminat mengambil alih taman tema tersebut.
"Sekurang-kurangnya ada dua pelabur dari dalam dan luar negara yang berminat. Bila kita cadang kepada mereka kita ada 'theme park', mereka kata nak buat kajian. Mungkin mereka nak 'expand' dengan kaedah-kaedah yang lain mengikut ketetapan kita.
"Penutupan MAPS tidak menjejaskan iklim pelaburan di Perak tetapi ia menyebabkan kita mencari jalan keluar yang lebih mantap dan menguntungkan kerajaan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Dem Draexlmaier Automotive (M) Sdn Bhd, Chemor di sini hari ini.
Pada 28 Januari lalu, The Receiver and Manager Animation Theme Park Sdn Bhd (ATP) daripada Messrs Ernst & Young mengumumkan bahawa MAPS ditutup melalui satu notis dikeluarkan.
Menurut notis tersebut, tiada tempoh ditetapkan terhadap penutupan taman tema tersebut sehingga diberitahu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!