Istiadat perkahwinan Tengku Muhammad, Tengku Natasya bermula 22 Oktober ini

Istiadat Perkahwinan Tengku Muhammad Iskandar dan Tengku Natasya bermula 22 Oktober ini. Foto Kesultanan Pahang
Istiadat Perkahwinan Tengku Muhammad Iskandar dan Tengku Natasya bermula 22 Oktober ini. Foto Kesultanan Pahang
A
A
A

KUANTAN - Istiadat perkahwinan Putera Diraja, Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah yang juga putera kedua Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan pasangannya, Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan bakal berlangsung bermula 22 Oktober ini di Istana Abdulaziz, di sini.

Menerusi hantaran Facebook Kesultanan Pahang, pasangan pengantin Diraja itu bakal dinikahkan sendiri oleh bapa pengantin perempuan iaitu Tengku Adnan Tengku Mansor pada 24 Oktober di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz.

Seterusnya Istiadat Berinai pada 25 Oktober manakala istiadat Persandingan Diraja pada 27 Oktober ini.

"Ketiga-tiga Istiadat (akad nikah, berinai dan persandingan) akan disiarkan secara langsung melalui dua buah layar besar yang disediakan di Dataran Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan sebuah layar di Dataran Muzium Diraja, Pekan.

"Semua istiadat ini akan berlangsung di Istana Abdulaziz pada jam 8.00 malam," katanya dalam satu hantaran pada Selasa.

Istiadat menutup kerja istiadat perkahwinan Putera Diraja akan diadakan pada Isnin, 28 Oktober ini.

Pelbagai acara menarik akan diadakan di kedua-dua lokasi terbabit sepanjang tarikh Istiadat Perkahwinan Putera Diraja berlangsung.

Istiadat perkahwinan diraja kedua pada tahun ini selepas Tengku Puteri Raja, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah dan pasangannya, FD Idzham FD Iskandar pada 22, 23 dan 25 Ogos lalu.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!