[VIDEO] Penduduk resah banjir termenung tiada kesudahan
PONTIAN - Hujan sejak tengah malam Sabtu menyebabkan tujuh buah rumah di Kampung Parit Yassin Darat di sini dinaiki air.
Tidak sampai dalam tempoh setahun, penduduk terpaksa menempuh ujian yang sama dan dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Markom, Benut.
Seorang penduduk, Mohd Sani Abd Rahim, 36, berkata, banjir yang berlaku itu adalah kali keenam yang menjejaskan kediamannya sejak menetap di kampung berkenaan.
Pekerja pembersihan itu memberitahu, ayahnya, Abd Rahim Serdan, 71, yang lumpuh separuh badan sejak 10 tahun lalu akibat kemalangan dibawa menggunakan ambulans ke PPS, SK Parit Markom pada Ahad.
"Memandangkan hujan sejak awal pagi Sabtu, saya dan keluarga bersiap sedia mengemas barang di rumah dan meletakkannya di tempat yang lebih tinggi.
"Begitu juga dengan baju dan buku sekolah dua orang anak berusia lima dan 12 tahun, sudah diletakkan di tempat yang tinggi," katanya ketika ditemui di sini pada Selasa.
Mohd Sani berkata, selepas dua hari berlindung di PPS, dia kembali semula ke rumahnya untuk melihat keadaan rumah selepas keadaan bertambah baik.
“Pagi ini saya balik rumah dan dapati air banjir masih lagi mengenangi kawasan rumah saya. Belum ada tanda-tanda nak surut kerana berlaku air pasang pada masa kini.
“Limpahan air dari Sungai Pinggan dan lebihan air dari Simpang Renggam menyebabkan kira-kira tujuh rumah penduduk digenangi air,” katanya.
Tambah Mohd Sani, Kampung Parit Yassin Darat merupakan kawasan kerap berlaku banjir di Mukim Benut pada setiap tahun.
Katanya, banjir ‘termenung’ ini mungkin akan mengambil masa dua hingga tiga hari untuk surut
"Saya harap pihak berwajib dapat mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan masalah banjir kilat dengan menyelenggara sistem perparitan di kampung dengan lebih baik," katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, seramai 601 mangsa banjir di daerah Kluang, Pontian dan Batu Pahat masih berlindung di lapan pusat pemindahan sementara setakat jam 12 tengah hari pada Selasa.
Beliau berkata, keadaan cuaca diramalkan cerah bagi kesemua 10 daerah namun Sungai Sembrong di Batu 2 Sembrong, Batu Pahat berada pada paras amaran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!