Kegiatan proses air ketum berselindung di sebalik kedai landskap terbongkar

Hussein (tengah) menunjukkan air ketum yang dirampas.
Hussein (tengah) menunjukkan air ketum yang dirampas.
A
A
A

SUNGAI BULOH - Polis membongkar kegiatan memproses air ketum yang berselindung di sebalik kedai landskap di sini, susulan tangkapan empat lelaki, pada Khamis.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya menahan dua lelaki tempatan termasuk pemilik kedai landskap dan dua pekerja warga asing dalam serbuan di dua rumah, pada jam 12.05 tengah hari.

"Kita turut merampas 1,100 botol anggaran isipadu 550,000 mililiter serta 41 karton rokok seludup bernilai RM17,500," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh di sini, pada Selasa.

Beliau berkata, kegiatan memproses air ketum itu disyaki aktif sejak 2021.

"Siasatan mendapati bekalan daun ketum diambil dari Perak dalam kuantiti 50 kilogram menggunakan lori," katanya.

Hussein berkata, air ketum sebanyak 550,000 mililiter itu boleh dibekalkan kepada 1,100 pengguna dalam satu masa dengan mengambil kira penggunaan harian sebanyak 500 mililiter.

"Malah bagi mengelak perbuatan mereka disedari pihak berkuasa, segala urusan pembelian menggunakan wang tunai sahaja dan tidak dibenarkan melalui dalam talian atau QR," katanya.

Menurutnya, pembeli akan menyamar sebagai pemandu e-haling termasuk menggunakan transporter untuk membeli air ketum terbabit.

Artikel Berkaitan:

"Harga jualan air ketum juga berbeza mengikut waktu iaitu sebelah siang RM5, malam RM10 manakala awal pagi lebih mahal.

"Mereka dianggarkan memperoleh keuntungan dengan menjual air ketum sebanyak RM20,000 sebulan," katanya.

Mengulas lanjut, Hussein berkata, semakan rekod lampau mendapati hanya salah seorang suspek mempunyai satu rekod lampau.

"Hasil saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek berusia 21 hingga 42 tahun itu adalah negatif," katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967.

"Kita mengalu-alukan orang awam menyalurkan maklumat jenayah terutama berkaitan kes dadah kepada pihak polis bagi membantu membanteras aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!