Pusat Kawalan Penyakit Negara dijangka siap sepenuhnya 2026

Lukanisman
Lukanisman
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pembinaan Pusat Kawalan Penyakit Negara (NCDC) kini mencapai 45 peratus kemajuan dan dijangka siap sepenuhnya pada Julai 2026.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, pusat kawalan penyakit yang terletak di Bandar Enstek, Negeri Sembilan itu bakal meningkatkan kesiapsagaan Malaysia dalam menghadapi krisis kesihatan global.

"Berdasarkan penemuan dan analisis semasa pandemik Covid-19, pusat (NCDC) ini akan menjadi Makmal Rujukan dan Diagnostik Khas yang akan memperkukuh negara dalam pengurusan wabak penyakit.

"Pembinaan NCDC ini juga mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam penghasilan vaksin sendiri sekali gus memberi kemudahan terbaik kepada saintis tempatan untuk melakukan kajian penyakit secara lebih mendalam,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Jubli Perak ke-25 Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) di sini pada Selasa.

Beliau berkata, NCDC yang dibina di kawasan seluas lapan hektar bermula Oktober 2021 itu akan dilengkapi dua blok utama iaitu pusat kawalan penyakit dan Makmal Rujukan Kesihatan Awam.

Sambutan Jubli Perak MKAK menandakan kejayaan 25 tahun penubuhan institusi itu dalam menjaga keselamatan awam, termasuk pencapaian tertinggi sebagai makmal pertama di Malaysia yang mengenal pasti virus Covid-19 dengan menggunakan mikroskop elektron dan virus cacar monyet atau mpox melalui kaedah PCR masa nyata. - Bernama

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!