MIT Pahang 2024 tarik 200 pempamer, 90 'premium buyers' antarabangsa

Yu Man (tiga dari kiri) menerima cenderamata disampaikan Pengurus Besar Tourism Pahang, Kamaruddin Ibrahim selepas menyempurnakan gimik perasmian MIT Pahang 2024, pada Selasa.
Yu Man (tiga dari kiri) menerima cenderamata disampaikan Pengurus Besar Tourism Pahang, Kamaruddin Ibrahim selepas menyempurnakan gimik perasmian MIT Pahang 2024, pada Selasa.
A
A
A

KUANTAN - Seramai 200 penggiat industri pelancongan dari 11 negara mengambil bahagian sebagai pempamer pada Ekspo Pelancongan Antarabangsa Malaysia Pahang 2024 (MIT Pahang 2024) yang berlangsung selama tiga hari, bermula Selasa hingga Khamis ini.

Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Leong Yu Man berkata, pempamer terlibat dalam MIT Pahang 2024 itu antaranya dari Thailand, Singapura, Indonesia, China, New Zealand, Korea, Rusia, Kenya, Taiwan dan Malaysia sendiri.

Menurutnya, seramai 90 'premiums buyers' dari 16 negara termasuk Singapura, Thailand, Indonesia, Vietnam, Kemboja, China, India, Amerika Syarikat (AS) dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) turut menyertai eksposisi pelancongan bertaraf antarabangsa yang julung kali diadakan itu.

"Pahang telah mengambil inisiatif menjemput 'premium buyers' terdiri syarikat pelancongan berskala besar dari lebih 16 negara itu sebagai rakan strategik yang berpotensi membawa masuk pelancong dari negara berkenaan ke negara ini.

"Sepanjang tiga hari acara ini berlangsung, kita sasarkan lebih 10,000 kehadiran penggiat industri termasuk dalam kalangan pempamer, peserta seminar dan orang ramai," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian MIT Pahang 2024 di sini pada Selasa.

Yu Man berkata, penganjuran eksposisi pelancongan bertaraf antarabangsa berkonsepkan perniagaan kepada perniagaan (B2B) itu bagi mempromosikan sektor pelancongan di negeri ini.

"Biasanya pemain industri dan agensi pelancongan akan mengambil bahagian dalam ekspo pelancongan popular di luar negara untuk mempromosikan produk pelancongan masing-masing.

"Kali ini, kerajaan negeri mengambil inisiatif untuk memposisikan Malaysia khususnya Pahang dan Kuantan sebagai lokasi pertemuan pemain industri pelancongan melalui MIT Pahang 2024 ini," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya lagi, Pahang berpotensi untuk menarik pemain industri datang ke sini untuk perbincangan, perkongsian idea bagi bangunkan sektor pelancongan bersama.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!