Seragamkan amalan tarekat elak kes GISBH berulang

Iqbal Zain Al Jauhari
Iqbal Zain Al Jauhari
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan melalui Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) perlu menyelaras dan menyeragamkan penggubalan undang-undang bagi mengawal dan mengatur amalan tarekat di negara ini.

Majlis Ta'lim Darul Mujtaba dan Persatuan Guru-Guru Pondok Pantai Timur dalam satu kenyataan berkata, perkara itu penting agar ia senantiasa berada di landasan yang tepat seperti mana pewujudan Enakmen Tarekat Tasawuf (Negeri Sembilan) 2005.

Menurutnya, ia perlu dilaksanakan dengan adunan manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah, rumusan akidah Asya'irah Maturidiah dan fikah Mazhab Syafie serta Mazhab Muktabarah dan tasawuf Ghazaliah Junaidiah bagi menzahirkan wajah Islam yang rahmah, harmoni dan damai.

“Selain itu, pihak berkuasa agama Islam negeri perlu menguatkuasakan kuasa pendaftaran wajib ke atas semua sekolah agama Islam kendalian swasta dan rakyat termasuk tahfiz, seperti yang diperuntukkan dalam undang-undang sekolah mengenai sekolah agama Islam.

“Kerajaan Pusat melalui MKI juga perlu menyelaras penggubalan undang-undang khusus mengenai pentadbiran pendidikan Islam agar Bahagian Pendidikan Islam Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) dan pihak berkuasa agama Islam negeri memastikan penerapan disiplin ilmu akidah, syariat dan kerohanian berlandaskan aliran ulama muktabarah diterapkan di semua peringkat,” katanya pada Selasa.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Pengerusi Majlis Ta'lim Darul Mujtaba, Iqbal Zain Al Jauhari dan wakil Perhubungan Persatuan Guru Pondok Pantai Timur, Razali Daud.

Menurut kenyataan itu lagi, kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan seperti yang tercatat dalam Artikel 3, Perlembagaan Persekutuan telah diselaraskan dengan baik di bawah MKI.

Bagaimanapun, mengambil iktibar kes GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) dan kes-kes lain, langkah segera perlu diambil agar ia tidak terus berulang.

Artikel Berkaitan:

“Buang yang keruh ambil yang jernih wajar dipraktikkan sehingga menjadi teladan dalam penyelesaian isu dan krisis umat.

"Melalui pendekatan ini, kami yakin bahawa maksud Membangun Malaysia Madani mampu dizahirkan,” jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!