Pekebun rayu kerajaan Pahang lanjut tempoh kosongkan kebun
KUANTAN - Kira-kira 70 pekebun dari Lembah Bertam, Cameron Highlands merayu Kerajaan Pahang mempertimbangkan semula notis pengosongan kebun di atas tanah kerajaan, sebaliknya meminta pihak terlibat membuka ruang penyelesaian dengan mengambil kira kepentingan kedua-dua pihak.
Memorandum rayuan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail turut diserahkan dan diterima Setiausaha Menteri Besar, Nordin Ibrahim kira-kira jam 9 pagi tadi.
Wakil Pekebun, Khor See Keat berkata, notis dari Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang diterima pihaknya pada 10 Januari lalu kerana menduduki tanah kerajaan tanpa kebenaran pihak berkuasa negeri, namun menyifatkan tindakan itu sukar dibuat walaupun diberi masa 30 hari berikutan tempohnya terlalu singkat, sedangkan jangkaan tuaian hasil kebun untuk musim ini kira-kira enam bulan lagi.
"Sekiranya lanjutan tempoh tidak diberikan, kami akan mengalami kerugian mencecah ratusan ribu selain hilang mata pencarian.
"Justeru hari ini, kami datang ke sini (Wisma Sri Pahang) untuk menyerahkan memorandum rayuan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail agar mempertimbangkan semula arahan notis yang dikeluarkan sebelum ini," katanya ketika ditemui di luar pekarangan Wisma Sri Pahang di sini.
Turut serta, Ahli Dewan Undangan Negeri Teruntum, Sim Chon Siang dan 45 wakil pekebun terlibat.
See Keat berkata, dia yang merupakan generasi ketiga mengusahakan kebun di kawasan itu merayu kerajaan negeri melanjutkan tempoh enam bulan lagi supaya mereka dapat menuai hasil sebelum mengosongkan kebun yang kini ditanam dengan pelbagai jenis sayuran dan bunga.
Sementara itu, seorang lagi wakil pekebun, Tan Kok Khiang turut berharap sesi dialog dapat diadakan antara pekebun dan wakil kerajaan Pahang bagi membincangkan permasalahan itu.
Katanya, pihak pekebun juga merayu agar jarak pengambilan tanah rezab jalan bagi kebun-kebun terlibat dikaji semula kerana berdasarkan penguatkuasaan sedia ada kini, jarak itu agak luas dan menjejaskan keluasan tapak kebun sesetengah pekebun terlibat.
"Kami mencadangkan agar dilakukan proses penempatan semula secara teratur kepada pekebun terlibat ke lokasi baharu atas cadangan kerajaan negeri di kawasan berdekatan agar kami dapat meneruskan aktiviti ini," katanya.
Sementara itu, Chon Siang berharap kerajaan negeri mempertimbangkan dan mengambil kira rayuan pekebun tersebut.
Beliau tidak menghalang langkah diambil kerajaan negeri itu, namun berharap kerajaan negeri menggunakan budi bicara dengan melihat isu tersebut dari pelbagai sudut demi kepentingan rakyat.
"Kawasan terlibat belum ada perancangan pembangunan dalam masa terdekat, justeru wajar agar tempoh pengosongan itu dilanjutkan supaya hasil tanaman mereka sempat dituai," katanya.
Pada 16 Januari lalu, Ops Lestari 2 dilancarkan bagi menggempur aktiviti penerokaan tanah secara haram di kawasan tadahan air Kuala Terla, Sungai Ichat di Cameron Highlands.
Tindakan penguatkuasaan dijalankan Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands dibantu beberapa agensi termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN) itu merupakan kesinambungan kepada Op Lestari sebelum ini.
Usaha itu bagi memulihkan sumber air mentah terutamanya Sungai Ichat yang tercemar teruk akibat penerokaan tanah secara haram bagi tujuan pertanian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!