Vape berbentuk alat tulis: Cake bimbang tarik minat pelajar
ALOR SETAR - Persatuan Pengguna Kedah (Cake) kesal apabila terdapat peranti vape menyerupai alat tulis di pasaran antaranya seperti pen penanda, pen papan putih serta gam.
Presiden Cake, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, penjualan tersebut perlu disekat kerana ia bukan sahaja menarik minat pelajar sekolah menengah, malah dibimbangi menular ke sekolah rendah sekiranya peranti berbentuk alat tulis dijual berleluasa.
Menurutnya, penjualan peranti seumpama itu perlu dipantau kerana memberi impak negatif khususnya kepada pelajar sekolah.
“Biarpun setakat ini Cake tidak menerima aduan berkaitan penjualan vape berbentuk alat tulis, selain tinjauan ke beberapa buah kedai berdekatan juga tidak menemui vape tersebut, ia perlu dipantau kerana mungkin ada dijual di negeri lain atau dalam talian.
“Penjualan vape bebentuk alat tulis perlu ditegah kerana akan menarik minat golongan pelajar memilikinya,” katanya di sini pada Selasa.
Mohamad Yusrizal berkata, dibimbangi dengan adanya bentuk vape seperti itu akan memudahkan pelajar mendapatkan peranti tersebut dengan mengaburi ibu bapa yang mungkin beranggapan ia sebagai alat tulis sebenar.
“Pengguna vape dalam kalangan kanak-kanak tinggi, seeloknya kita bendung lebih awal. Trend hisap vape lebih tinggi berbanding merokok dalam kalangan kanak-kanak dan remaja kerana bentuknya yang pelbagai menyukarkan ia dikesan ibu bapa,” jelasnya.
Menurutnya lagi, sekiranya bentuknya menarik dan menyerupai alat tulis dibimbangi kanak-kanak dengan mudah dapat menyorok peranti tersebut dalam bekas alat tulis tanpa pengetahuan ibu bapa.
“Cake turut kesal dengan tindakan pengeluar yang cuba mengaburi ibu bapa dengan mencipta bentuk seperti itu. Diharap pemeriksaan berkala dan lebih ketat dilakukan bagi mengelak ia berleluasa,” katanya.
Mohamad Yusrizal berharap, Kementerian Kesihatan (KKM) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM), pertubuhan bukan kerajaan kesihatan serta belia mengadakan kempen kesedaran kalangan murid dan pelajar mengenai bahaya produk berkenaan.
Antara kes membabitkan pelajar Tingkatan Empat mengalami sawan dan tidak sedarkan diri dipercayai mengambil vape magic mushrooms.
KKM turut menerima 17 kes penyakit paru-paru, E-Cigarette or Vaping Product Use-Associated Lung Injury (EVALI) berpunca daripada penggunaan produk itu hingga Jun tahun lalu, antaranya seorang remaja perempuan 16 tahun meninggal dunia disyaki akibat EVALI yang mempunyai sejarah menghisap vape selama tiga tahun.
Sebanyak 69 kes keracunan vape dalam kalangan kanak-kanak dilaporkan dari 2015 hingga Ogos 2023 termasuk mangsa berusia dua tahun keracunan nikotin akut dipercayai tertelan cecair vape pakai buang.
Kajian Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) pada Januari hingga Mei tahun lalu mendapati 3,000 daripada 5,000 pelajar seluruh negara termasuk kolej, institusi pengajian tinggi (IPT) mengaku mengambil vape dengan 75 peratus bukanlah perokok.
Dalam pada itu, Mohamad Yusrizal menyifatkan langkah KKM menguatkuasakan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) bermula 1 Oktober amat bertepatan dan perlu disokong semua pihak.
“Ia membolehkan kawalan lebih ketat terhadap penjualan produk vape kepada kanak-kanak bawah umur termasuk penguatkuasaan bagi menghalang penjualan produk berkaitan tembakau serta nikotin kepada kanak-kanak,” ujarnya.
Sebelum ini, platform kesihatan awam dalam talian, Public Health Malaysia (PHM) melalui hantaran di Facebook mendedahkan kewujudan vape menyerupai alat tulis seperti pen penanda dan gam.
PHM turut memberi amaran kepada orang ramai khususnya ibu bapa dan guru supaya lebih berhati-hati terhadap rekaan terkini rokok elektronik tersebut.
"Ibu bapa dan guru diminta untuk sentiasa berjaga-jaga mengenai rekaan vape ini. Pada pandangan pertama, ia kelihatan seperti pen penanda atau gam UHU, malah ada juga rekaan menyerupai pensel 2B," kata PHM.
Netizen meluahkan kebimbangan terhadap rekaan terbaharu tersebut dan menyifatkan ia berpotensi menarik minat pelajar membelinya selain menyumbang kepada kemerosotan nilai generasi muda.
Antara respon netizen, Alin menyifatkan ia dilakukan sampah masyarakat yang mahu merosakkan golongan muda.
“Ni namanya nak tolong pelajar deceive (menipu) cikgu-cikgu, deceive mak ayah. Tolong la do something (lakukan sesuatu),” kata Syazwani Abdul Ghani.
Mohd Hafiez pula berharap kerajaan memperketatkan lagi penjualan vape.
“Nampak sangat diorang nak tumpu jual kepada pelajar,” kata Noor Fatihah pula.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!