28 mangsa banjir di Baling diselamatkan bomba
BALING - Seramai 28 mangsa dari enam buah keluarga di Kampung Banggol Deram di sini dipindahkan ke tempat selamat berikutan rumah mereka dinaiki air susulan limpahan sungai pada Selasa.
Kesemua mereka dibawa keluar menggunakan bot dan dipindahkan ke Surau Banggol Deram setelah paras air mencecah kira-kira satu meter.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Mohd Jamil Mat Daud berkata, panggilan kecemasan diterima pada jam 8.43 pagi berhubung kejadian.
Menurutnya, sebaik sahaja tiba ke lokasi mendapati berlaku limpahan membabitkan enam buah rumah penduduk yang terletak tepi sungai.
"Tindakan pasukan ialah melakukan kerja-kerja menyelamat menggunakan bot untuk memindahkan mangsa ke Surau Kampung Banggol Deram.
"Seterusnya, perpindahan mangsa dilakukan membabitkan tujuh lelaki dewasa, 10 wanita dewasa dan 11 kanak-kanak lelaki dan perempuan," katanya.
Jelas beliau, pasukan bomba turut membuat pemantauan bagi memastikan keadaan selamat sepenuhnya.
Operasi tamat pada jam 1.17 petang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!