Amanah Selangor tidak kecil hati pandangan Nur Jazlan

Izham ketika ditemui pada Program Ekspedisi Santuari Ikan Sungai Chiling di sini, pada Selasa.
Izham ketika ditemui pada Program Ekspedisi Santuari Ikan Sungai Chiling di sini, pada Selasa.
A
A
A

HULU SELANGOR - Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor tidak berkecil hati dengan kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed meremehkan parti itu dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Johor.

Pengerusi Amanah Selangor, Izham Hashim berkata, itu hanya pandangan Nur Jazlan dan tidak mewakili keputusan UMNO.

Menurutnya, keadaan di Johor tidak menjejaskan kerjasama baik antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di Selangor.

"Saya tidak ada kerisauan kerana itu pandangan peribadi. Semua boleh beri pandangan tetapi akhirnya pimpinan tertinggi yang akan buat keputusan.

"Ketika ini kerjasama PH-BN peringkat Pusat stabil. Amanah di Selangor pula dalam keadaan baik, hebat dan semua gembira," katanya ketika ditemui pada Program Ekspedisi Santuari Ikan Sungai Chiling di sini pada Selasa.

Nur Jazlan pada Khamis melabel Amanah dan PKR seperti 'lebih sudu daripada kuah’ berkaitan isu pembentukan Kerajaan Perpaduan di Johor.

Izham (kiri) pada Program Ekspedisi Santuari Ikan Sungai Chiling di sini, pada Selasa.
Izham (kiri) pada Program Ekspedisi Santuari Ikan Sungai Chiling di sini, pada Selasa.

Kenyataan Nur Jazlan di Facebook itu susulan desakan berterusan PH Johor kepada BN supaya Kerajaan Perpaduan ditubuhkan di negeri itu selepas kejayaan besar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota pada 28 September lalu.

Artikel Berkaitan:

Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan dilaporkan berkata, penubuhan Kerajaan Perpaduan tidak perlu ditangguhkan lagi sekiranya mereka merasakan gabungan PH-BN yang terbaik untuk masa depan negara dan Johor.

Kenyataan Nur Jazlan kemudian menerima sindiran pedas daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman atau Altimet yang mengatakan situasi berlaku di Johor pernah BN lakukan di Selangor apabila mendakwa parti itu meminta lebih kuota kerusi ahli majlis dan semua jawatan ketua kampung.

Izham yang juga Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor berkata, perselisihan pendapat dan pandangan terbuka itu dianggap biasa bagi menghangatkan suasana politik dalam negara.

"Masing-masing ada media sosial bebas beri pandangan, pada saya tiada masalah dan tidak menjejaskan kerjasama atau memecahkan perpaduan.

"Biasalah kalau tak panas bukan politik, kalau sejuk banyak pihak tidur. Kalau nak kecil hati jangan masuk politik, jiwa kena kuat, hati tisu tidak boleh masuk politik," katanya.

Beliau bagaimanapun berpandangan, kerjasama baik antara semua parti mampu memberikan hasil baik kepada rakyat dan negara.

"Saya lihat semua parti memberikan kerjasama baik semasa PRK Mahkota dan masing-masing dapat faedahnya melalui kemenangan besar.

"Perpaduan menjamin kemenangan tapi kalau bergaduh macam ini rakyat pun benci dan tidak akan membawa faedah kepada sesiapa.

"Semua perlu sedar tiada sesiapa yang kuat, hanya akan menjadi kuat apabila semua bersatu," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!