Perjelas penubuhan unit baharu skuad kebangsaan - Penganalisis

Jamal Nasir
Jamal Nasir
A
A
A

PERANCANGAN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mewujudkan unit baharu bagi memantau prestasi dan menguruskan pasukan bola sepak negara secara khusus perlu penjelasan yang lebih menyeluruh.

Legenda bola sepak negara Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, penjelasan yang telah diberikan berhubung perkara itu masih samar selain beliau menganggap fungsi unit itu bertindih dengan tugas Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM.

"Kita tak faham apa dimaksudkan sebagai unit ‘khas’ untuk pantau skuad Harimau Malaya, kena huraikan lebih jelas sebab benda ini seperti ke arah penswastaan. Penjelasannya masih samar dan pasti ramai orang nak tahu apa itu unit ‘khas’, tujuannya dan kenapa diwujudkan.

"Pada saya kenapa perlu unit ‘khas’ sebab sekarang kita sudah ada Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan yang dipengerusikan oleh Presiden FAM,” kata bekas pemain pertahanan kental skuad kebangsaan itu ketika dihubungi Bernama, pada Selasa.

Sementara itu, pemerhati bola sepak tempatan Datuk Dr Pekan Ramli turut keliru dengan idea itu, namun menganggap ia sebagai isyarat jelas bahawa skuad Harimau Malaya tidak akan diswastakan seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini.

Pekan juga melihat fungsi unit itu dan peranan Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM tidak bertindan memandangkan kedua-duanya dipengerusikan oleh Presiden FAM.

"Pastilah tugas unit ‘khas’ ini tidak bertindan dengan tanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan atau secara fizikalnya tidak berubah pun kerana masih lagi dipengerusikan Presiden FAM.

"Apa pun perkara ini nampaknya belum begitu jelas, kita pun tak boleh nak komen lebih-lebih, kalau ia baik kita sokong yang penting wang rakyat tidak disalahgunakan dan bola sepak kita maju ke depan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Semalam, Timbalan Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi mengesahkan FAM tidak akan menswastakan skuad Harimau Malaya sebaliknya mewujudkan satu unit baharu bagi memantau prestasi dan menguruskan pasukan negara termasuk untuk skuad Bawah 23 Tahun (B-23).

Mohd Yusoff berkata, tujuan mewujudkan unit itu antara lain bagi menjaga kebajikan dan persembahan pasukan kebangsaan ke arah lebih baik, selain memastikan peruntukan diterima unit itu hanya untuk kegunaan pasukan terlibat.

Menurut beliau, idea penubuhan unit itu dicetuskan oleh Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail ketika pertemuan baginda bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

Awal bulan lepas, Anwar turut mengumumkan sebanyak RM15 juta diperuntukkan untuk memperkukuh pasukan Harimau Malaya, sekali gus mengangkat pasukan itu menjadi gergasi bola sepak di rantau Asia.

Malaysia kini menghuni tangga ke-132 dalam ranking dunia Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA). - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!