[VIDEO] Isham Jalil dakwa dipanggil polis isu cadang saman Bloomberg

A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil mendakwa dipanggil oleh polis susulan mencadangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyaman syarikat media antarabangsa, Bloomberg.

Isham akan ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Putrajaya pada petang Selasa untuk memberikan keterangan mengenai hantaran di Facebooknya sebelum ini.

“Keterangan saya ialah saya telah sarankan PMX untuk saman Bloomberg kerana kenyataan tersebut adalah serius dan membawa implikasi yang besar.

"Jika kenyataan itu tidak benar, ia amat memalukan institusi Perdana Menteri Malaysia dan menghakis keyakinan rakyat serta pelabur tentang kesungguhan PMX untuk memerangi rasuah.

“Kenyataan Bloomberg tersebut boleh menggambarkan bahawa usaha PMX untuk memerangi rasuah hanyalah retorik semata-mata dan juga membuka gambaran bahawa beliau cakap tidak serupa bikin.

"Jika kenyataan Bloomberg itu tidak benar ia adalah fitnah yang berat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Sebelum ini, Isham mencadangkan tindakan saman terhadap Bloomberg kerana menyiarkan laporan yang menyatakan Anwar meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tidak siasat bekas setiausaha politiknya, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berhubung kes beli saham bernilai jutaan ringgit.

Isham mendakwa, Peguam Negara juga boleh mengambil tindakan ke atas Bloomberg untuk mewakili kerajaan Malaysia, sekiranya Perdana Menteri terlalu sibuk.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, ia disebabkan kenyataan tersebut ditujukan kepada Anwar atas kapasiti sebagai ketua Kerajaan Malaysia.

“Jika tiada tindakan diambil ke atas Bloomberg, mungkin orang akan kata Perdana Menteri dan Peguam Negara atau kerajaan hanya berani saman, dakwa atau rampas telefon rakyat biasa dan pemimpin pembangkang yang tidak ada kuasa apabila mereka mengkritik kerajaan.

“Namun, syarikat besar seperti Bloomberg yang mampu bayar yuran guaman dan bayar saman beratus juta, kerajaan tidak berani buli atau tidak berani ambil tindakan pula,” katanya.

Isham mendakwa apabila tindakan dikenakan terhadap individu yang menyarankan saman itu, ia sebagai perkara pelik dan perlu dielakkan.

“Keadilan perlu dicapai tidak kira jika seseorang itu besar atau kecil, berkuasa atau tidak dan tidak kira ke atas peniaga pasar malam atau syarikat besar antarabangsa,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!