[VIDEO] Penduduk Sembulan rayu kerajaan tangguh roboh rumah

A
A
A

KOTA KINABALU - Lebih 1,000 penduduk di Kampung Sembulan meminta supaya kerajaan menangguhkan sementara waktu rancangan merobohkan struktur rumah di kawasan kampung tersebut yang dijadualkan pada 11 November depan.

Perkara itu disampaikan menerusi satu pertemuan dalam sesi libat urus antara Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bersama pemilik lot tanah Sembulan yang berdaftar dalam kawasan skim pembangunan semula bandar Sembulan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Selasa.

Kampung Sembulan yang bakal dirobohkan untuk pelaksanaan skim pembangunan semula bandar Sembulan, Kota Kinabalu.
Kampung Sembulan yang bakal dirobohkan untuk pelaksanaan skim pembangunan semula bandar Sembulan, Kota Kinabalu.

Pengerusi Pertubuhan Penduduk dan Kebajikan Kampung Sembulan, Osman Omar Khan berkata, pertemuan itu antaranya adalah meminta pihak DBKK memberi perhatian mengenai tindakan perobohan melalui notis yang dikeluarkan kepada penduduk pada 19 September lalu.

"Kita ada tekankan mengenai tarikh 11 November itu supaya diberi perhatian, jangan tergesa-gesa untuk merobohkan.

"Tadi Datuk Bandar akan berjanji akan bertemu dengan Ketua Menteri untuk menghalusi perkara ini dan akan kembalikan jawapannya kepada kita," katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi libat urus tersebut.

Sabin ditemui pemberita selepas sesi antara DBKK bersama pemilik lot tanah Sembulan di SICC, Kota Kinabalu.
Sabin ditemui pemberita selepas sesi antara DBKK bersama pemilik lot tanah Sembulan di SICC, Kota Kinabalu.

Berkongsi lanjut mengenai apa cadangan daripada penduduk yang dikemukakan dalam sesi tersebut, Osman mahu hak pemilikan tanah perlu diberi perhatian dengan mengambil kira situasi menang-menang antara kedua pihak.

Artikel Berkaitan:

"Melalui memorandum yang kita hantar, pertama kita sangat mengalu-alukan pembangunan, cuma kita mahu Sembulan berwajah baru dan yang paling penting, hak memiliki tanah itu perlu diberi perhatian, diberi keutamaan.

"Maksudnya, kalau kerajaan mahu mengambil tanah kita, kerajaan perlu menilai dengan harga pasaran pada hari ini," katanya.

Jelasnya lagi, setakat ini semua pemilik tanah lot bersetuju pembangunan diwujudkan namun dengan syarat hak kesemua pemilik tidak diabaikan.

"Saya telah berbincang dengan penduduk dalam beberapa pertemuan dan saya diwakilkan bahawa mereka bersetuju.

"Sekiranya menang-menang bersama itu boleh diwujudkan, tidak ada halangan untuk bersetuju pembangunan diwujudkan dan untuk Sembulan berwajah baru itu perlu diwujudkan.

"Sebab kita tidak mahu Sembulan hilang daripada peta Kota Kenabalau ini. Penduduk kampung tidak akan bersetuju sekiranya Sembulan hilang daripada peta Kota Kenabalau," katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Seri Sabin Samitah berkata, sesi itu adalah untuk memberi penerangan dari segi undang-undang berkenaan isu tanah yang belum dan telah luput tempoh pajakan dan kaedah pengambilan tanah apabila kerajaan berhasrat untuk membangunkan kawasan berkenaan.

Osman ketika ditemui pemberita selepas sesi antara DBKK bersama pemilik lot tanah Sembulan di SICC, Kota Kinabalu.
Osman ketika ditemui pemberita selepas sesi antara DBKK bersama pemilik lot tanah Sembulan di SICC, Kota Kinabalu.

Menurut beliau, projek skim pembangunan semula bandar Sembulan ini bukan baharu dikatakan tetapi sudah lama.

"Saya telah mendengar kesemua permintaan daripada penduduk Sembulan sama ada yang luput ataupun tidak luput

"Pada hari ini cadangan dan permohonan mereka itu akan kami bawa kepada Kabinet dan sebagai makluman juga antara lot-lot ini sama ada yang masih aktif ataupun telah luput, memang mereka bersetuju untuk kawasan ini dibangunkan oleh kerajaan dengan memberikan pertimbangan beberapa perkara yang mereka telah sampaikan tadi.

"Yang luput adalah seramai 104 pemilik lot manakala 64 pemilik lagi masih aktif," katanya.

Sebelum itu, difahamkan kira-kira 1.5 hektar tanah di kawasan Sembulan akan dibangunkan semula menerusi projek yang dilaksanakan DBKK.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!