Kerajaan negeri siasat dakwaan kenaikan sewa di Cameron Highlands

Peniaga di Medan Agro, Cameron Highlands mendakwa ditekan dengan kenaikan kadar sewa sehingga RM7,500 sebulan berbanding hanya RM500 sebelum ini. Foto visitmalaysia.info, gambar kecil: Sim Chon Siang
Peniaga di Medan Agro, Cameron Highlands mendakwa ditekan dengan kenaikan kadar sewa sehingga RM7,500 sebulan berbanding hanya RM500 sebelum ini. Foto visitmalaysia.info, gambar kecil: Sim Chon Siang
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan negeri mengesahkan menerima aduan daripada beberapa peniaga di Medan Agro, Cameron Highlands yang mendakwa ditekan dengan kenaikan kadar sewa sehingga RM7,500 sebulan berbanding hanya RM500 sebelum ini.

Exco Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna Pahang, Sim Chon Siang berkata, aduan yang diterima minggu lalu itu kini sedang disiasat.

Menurutnya, tindakan segera akan diambil sekiranya hasil siasatan mendapati berlaku kenaikan sewa yang membebankan peniaga terlibat.

“Memang saya dapat aduan yang (sewa) pasar dinaikkan. Jadi, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita tengah siasat tentang aduan ini dan kita beritahu apa masalahnya selepas siasatan selesai.

“Biar kami siasat dahulu sebelum bagi jawapan yang tepat, mungkin dalam dua minggu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Ekspo Pelancongan Antarabangsa Malaysia Pahang 2024 (MIT Pahang 2024) di sini pada Selasa.

Leong Yu Man
Leong Yu Man

Majlis dirasmikan Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Leong Yu Man mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Yu Man berkata, kerajaan negeri melalui agensi berkaitan sentiasa melakukan pemantauan harga jualan di lokasi pelancongan.

“Sekiranya ada aduan diterima, kita berharap tindakan segera dapat diambil.

"Peniaga-peniaga juga diharap bekerjasama dalam perkara ini kerana kita tidak mahu kerana nila setitik, rosak susu sebelanga,” katanya.

Sebuah portal tempatan sebelum ini melaporkan Pengerusi Persatuan Kebajikan Surplus Pulau Pinang, Mohd Sophian Mohd Zain bersama pasukannya turun ke Cameron Highlands susulan mendapat aduan seramai 35 peniaga di Medan Agro mendakwa ditindas dengan kenaikan kadar sewa.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Yu Man berkata, tiada isu melibatkan waktu pendaftaran masuk dan keluar hotel di negeri ini.

Menurutnya, difahamkan ada yang tidak berpuas hati apabila hotel tertentu menetapkan daftar masuk pada jam 4 petang, namun isu itu setakat ini tidak timbul di Pahang.

"Waktu masuk keluar hotel mengikut permintaan pasaran dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) juga tidak boleh untuk menentukan masa itu untuk setiap hotel kerana situasinya tidak sama.

"Sebagai contoh di Pulau Tioman, masa 'check in' dan 'check out' mengikut jadual feri, susah untuk tetapkan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!