ROL: Kerajaan teruskan projek cetusan idea Najib
SHAH ALAM - Kementerian Wilayah Persekutuan akan meneruskan projek River of Life (ROL), meskipun idea asalnya direncanakan dan dibangunkan kerajaan BN.
Menterinya, Khalid Samad berkata, projek itu kini berlangsung mengikut jadual dan ia dijangkakan akan memberi impak positif terhadap bandaraya Kuala Lumpur.
"Kita teruskan projek River Of Life yang Datuk Seri Najib Tun Razak, seronok cakap pasal ROL, peruntukannya RM3 bilion kita kena teruskan," katanya dalam program Bicara Minda bersama beliau di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, di sini, hari ini.
ROL adan Projek River of Life ini adalah salah satu Projek Permulaan di bawah Program Transformasi Ekonomi bagi Greater Kuala Lumpur, bertujuan untuk mentransformasikan Sungai Gombak dan Sungai Klang menjadi satu ikon waterfront yang dinamik dan berdaya huni melalui tiga komponen utama iaitu pembersihan sungai, pengindahan sungai dan pembangunan tanah.
Sejak dilancarkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib pada Julai 2011, ia mula menyaksikan perubahan pada wajah Kuala Lumpur.
Lebih bermakna lagi perubahan ini bermula di tempat di mana Kuala Lumpur itu sendiri bermula, iaitu di tebing tempat pertemuan Sungai Gombak dan Sungai Klang, kira-kira 170 tahun dahulu.
Melalui projek ini, kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif membersihkan semula sungai seperti menaiktaraf sistem pembetungan, menambah perangkap sampah di sepanjang sungai dan memperkenalkan sistem Interceptor.
Inisiatif di bawah pembersihan sungai ini telah mencapai 81 peratus kemajuan pelaksanaan dan akan siap sepenuhnya menjelang tahun 2020.
Fasa 1 projek Pengindahan Sungai Presint 7 ini melibatkan beberapa bangunan warisan yang bersejarah bagi Kuala Lumpur, seperti Masjid Jamek Sultan Abdul Samad dan Bangunan Sultan Abdul Samad.
Melalui projek ini, kerajaan juga telah memulihara bangunan-bangunan warisan negara ini dengan menaik taraf struktur sedia ada dan meningkatkan akses rakyat ke kawasan di sekelilingnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!