Sembilan masjid Perak tanam betik, jayakan program sekuriti makanan

Norsiyenti (dua dari kanan) menunjukkan betik jenis sekaki yang ditanam di Masjid Al Lattifiyah Kampung Loh, Karai pada Selasa.
Norsiyenti (dua dari kanan) menunjukkan betik jenis sekaki yang ditanam di Masjid Al Lattifiyah Kampung Loh, Karai pada Selasa.
A
A
A

KUALA KANGSAR - Sembilan masjid di Perak dipilih sebagai perintis bagi melaksanakan program Sekuriti Makanan menerusi tanaman betik membabitkan peruntukan RM86,000.

Pengarah Pertanian Perak, Norsiyenti Othman berkata, pelaksanaan program di kawasan seluas 1.7 hektar itu selari dengan usaha kerajaan negeri memperluas program Bumi Hijau selain memperkasa masjid sebagai pusat pengeluaran bahan makanan.

Menurutnya, melalui program itu, setiap masjid menerima input pertanian iaitu benih betik jenis sekaki antara 50 hingga 100 anak pokok, baja dan racun serta khidmat bantuan melibatkan penyediaan kawasan, pembersihan dan sistem pengairan.

Norsiyenti (tiga dari kiri) menyempurnakan gimik Peluncuran Program Sekuriti Makanan (tanaman betik) Masjid Negeri Perak di Masjid Al Lattifiyah Kampung Loh, Karai pada Selasa.
Norsiyenti (tiga dari kiri) menyempurnakan gimik Peluncuran Program Sekuriti Makanan (tanaman betik) Masjid Negeri Perak di Masjid Al Lattifiyah Kampung Loh, Karai pada Selasa.

"Penanaman betik ini kita lakukan serentak bermula hari ini di semua masjid oleh ahli kariah dan jawatankuasa masjid masing-masing.

"Begitupun Pegawai Pertanian di kawasan akan datang memantau sepanjang tempoh penanaman iaitu kira-kira enam bulan sehingga berhasil.

"Harapan kita hasil pengeluaran yang diperoleh nanti, sebahagian besarnya dapat dijual supaya dapat dijadikan sumber pendapatan kepada masjid dan membeli input-input pertanian bagi tanaman seterusnya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Peluncuran Program Sekuriti Makanan (tanaman betik) Masjid Negeri Perak di Masjid Al Lattifiyah Kampung Loh, Karai di sini pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, Orang Besar Jajahan Kuala Kangsar, Dr Khairil Anuar Arshad; Pengerusi Masjid, M Fazil Majid dan Ketua Kampung Loh, Wan Azmi Wan Salleh.

Norsiyenti menunjukkan sayur bayam hasil kaedah tanaman hidroponik yang dilaksanakan Masjid Al Lattifiyah Kampung Loh, Karai.
Norsiyenti menunjukkan sayur bayam hasil kaedah tanaman hidroponik yang dilaksanakan Masjid Al Lattifiyah Kampung Loh, Karai.

Selain Masjid Al Lattifiyah, lapan lagi masjid terpilih ialah Masjid Al Amin Kampung Jong, Gerik; Masjid Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Tapah; Masjid Sultan Azlan Shah, Kampung Gajah; Masjid Ar Ridzuan Kepala Pulau, Kampung Gajah; Masjid Jamek Baru, Gopeng; Masjid Aziziah Batu 10, Bagan Datuk; Masjid Kampung Air Kuning, Taiping dan Masjid Al Muhajirin Kampung Nibung Hangus, Kuala Kurau.

Norsiyenti berkata, pemilihan betik dilakukan berikutan permintaan tinggi di pasaran serta kaedah penjagaan dan penanaman yang mudah berbanding buah lain.

Katanya, berdasarkan data tahun lalu, Tahap Sara Diri (SSL) tanaman betik adalah sebanyak 75 peratus dan usaha dilakukan itu diyakini dapat membantu meningkatkan pengeluaran buah berkenaan di negeri ini.

"Sekiranya ada mana-mana pengurusan masjid atau surau yang mempunyai kawasan dan berhasrat melaksanakan program sama, kita sedia bantu.

"Bukan betik sahaja, tanaman buah komersial atau sayur berdaun juga boleh termasuklah tembikai wangi (rockmelon) dan cendawan," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, program Pertanian Komuniti yang dilaksanakan di negeri ini sejak 2021 telah memberi manfaat kepada 1,010 peserta di 101 lokasi melibatkan masjid, surau, pondok dan maahad.

"Jabatan Pertanian akan terus merancakkan aktiviti pertanian di lokasi-lokasi ini bagi meningkatkan interaksi sosial menerusi pengeluaran makanan yang sihat yang mampu menjana pendapatan peringkat komuniti," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!