‘Keikhlasan’ DAP terserlah melalui PRK Mahkota

DAP perlu menghentikan propaganda untuk menjustifikasikan bahawa mereka berkesan dalam membawa keluar pengundi Cina bagi PRK DUN Mahkota baru-baru ini. Gambar kecil: Ahmad Masrizal
DAP perlu menghentikan propaganda untuk menjustifikasikan bahawa mereka berkesan dalam membawa keluar pengundi Cina bagi PRK DUN Mahkota baru-baru ini. Gambar kecil: Ahmad Masrizal
A
A
A

SHAH ALAM - DAP perlu menghentikan propaganda untuk menjustifikasikan bahawa mereka berkesan dalam membawa keluar pengundi Cina bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota baru-baru ini.

Bekas Setiausaha Eksekutif Barisan Nasional (BN), Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad berkata, parti itu juga perlu ikhlas menerima kenyataan bahawa mereka sebenarnya masih belum mampu meyakinkan rakan serumah yang baharu iaitu BN.

Menurutnya, dalam konteks memberikan kemenangan, sepatutnya majoriti yang lebih besar diperoleh calon BN melalui keluarnya lebih ramai pengundi Cina yang kesemuanya berjumlah 22,447 orang di DUN Mahkota.

“Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong silap jika beliau menganggap kesemua 49 peratus undi Cina itu datang daripada usaha DAP kerana BN juga mempunyai komponen daripada kaum Cina iaitu MCA yang ternyata lebih ikhlas daripada segi kesetiakawanan.

“Pengerusi Institut Strategik dan Analisis Dasar (INSAP), Datuk Dr Pamela Yong melalui kenyataan akhbar pada 28 September menyatakan kira-kira 4,000 ahli MCA di Mahkota dan melalui agen ‘Get Out The Voters’ (GOTV) mereka.

“MCA telah berjaya mengeluarkan hampir 70 peratus daripada jumlah ahli mereka yang jika dikira secara mudah ialah seramai 2,900 orang. Ini adalah satu jumlah yang signifikan yang telah disumbangkan oleh MCA,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambah beliau, ini bermakna undi Cina yang diperolehi calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah tidak boleh diberikan kredit hanya semata-mata kepada DAP tetapi juga perlu diberikan kepada MCA.

Malah katanya, DAP sebenarnya tetap gagal dalam mengurus dan membawa pengundi Cina yang pasti majoritinya sewaktu Pilihan Raya Negeri 2022 dahulu mengundi Pakatan Harapan (PH) seramai 11,445 untuk keluar mengundi BN sebagaimana yang sepatutnya.

Artikel Berkaitan:

“Di manakah kegagalan DAP dalam menguruskan pengundi Cina mereka berbanding dengan rakan Cina BN iaitu MCA? DAP perlu belajar bagaimana penggabungan politik yang sebenar boleh menjadi satu perkara yang penting dalam menentukan perubahan landskap politik negara.

“Contohnya sewaktu kemenangan BN iaitu Datuk Seri Wee Jack Seng dari MCA pada PRK di Tanjung Piai dahulu. Daripada majoriti PH 524 undi kepada BN sebanyak 15,086 undi. Pada masa itu semua parti utama seperti BN dan Pas, bergabung dengan seikhlasnya untuk melawan PH yang terdiri daripada Bersatu, PKR, Dap dan Amanah yang merupakan ‘the government of the day’.

“PRK DUN Mahkota ini adalah merupakan ‘acid test’ sebenar kepada tahap keikhlasan, ketulusan dan kejituan politik antara parti-parti besar di dalam Kerajaan Perpaduan,” jelasnya.

Ahmad Masrizal menambah, ujian dalam PRK DUN Mahkota kali ini sebenarnya adalah atas perspektif ketulenan dan keikhlasan rumah Kerajaan Perpaduan yang berusia 23 bulan ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!