Temui trio juara 2010 pada jelajah trofi Piala ASEAN

Trofi Piala ASEAN singgah di Singapura baru-baru ini.
Trofi Piala ASEAN singgah di Singapura baru-baru ini.
A
A
A

JELAJAH pameran trofi Piala ASEAN 2024 atau sebelum ini dikenali sebagai Piala AFF akan meneruskan perjalanannya ke perhentian ketiga di Shah Alam, Selangor pada Sabtu ini sebagai sebahagian daripada kembaranya ke seluruh Asia Tenggara.

Kehadiran tiga tonggak negara yang membantu Malaysia muncul juara pada 2010 - Norshahrul Idlan Talaha, Mahali Jasuli dan Amri Yahyah akan mewarnai pameran trofi yang diidam-idamkan seluruh rantau Asia Tenggara itu di Centre Court, AEON Shah Alam bermula jam 11 pagi hingga 5 petang.

Kemasukan ke acara tersebut yang menawarkan pelbagai pengalaman istimewa adalah percuma, manakala pas 'Meet & Greet' boleh dimenangi melalui laman web Asean United FC dan platform media sosial @aseanutdfc.

Pada hari tersebut, Norshahrul, Mahali dan Amri akan menghadiri klinik bola sepak khas buat kelompok pemain muda yang bercita-cita tinggi.

Klinik bola sepak khas buat kelompok pemain muda yang bercita-cita tinggi.
Klinik bola sepak khas buat kelompok pemain muda yang bercita-cita tinggi.

Klinik tersebut sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dianjurkan oleh rakan tajaan utama, Mitsubishi Electric, sempena Jelajah Piala ASEAN 2024.

Klinik berkenaan yang dikendalikan oleh jurulatih kelab FC Imabari akan mendedahkan peserta kepada permainan mini menggunakan kaedah 'Okada', yang dinamakan sempena nama bekas jurulatih Jepun, Takeshi Okada.

Okada terkenal kerana membawa Jepun ke Piala Dunia pertama mereka pada 1998 dan ke peringkat kalah mati pada Piala Dunia 2010.

Artikel Berkaitan:

Kejohanan Piala ASEAN 2024 adalah pertandingan bola sepak utama di rantau ini dan kembali untuk edisi ke-15 pada Disember ini dengan Thailand bersiap sedia mempertahankan gelaran yang mereka menangi buat kali ketujuh pada 2022.

Sepanjang kewujudannya selama 28 tahun, pertandingan tersebut berkembang daripada kejohanan berpusat selama dua minggu kepada pertandingan timbal balik sepanjang enam minggu yang dimainkan di stadium penuh sesak merentasi Hanoi, Bangkok, Manila dan Jakarta.

Jelajah Trofi Piala ASEAN 2024 sebelum ini singgah di Bangkok serta Singapura dan akan ke Hanoi pada 26 Oktober disusuli Jakarta pada 2 November sebelum berakhir di Manila pada 9 November.

Edisi 2024 akan bermula dengan perlawanan kelayakan dua pusingan pada 8 dan 15 Oktober yang menemukan Brunei dan Timor-Leste.

Pemenangnya akan layak ke peringkat kumpulan yang bermula pada 8 Disember depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!