Kerajaan teliti pelan strategik masalah malpemakanan kanak-kanak - Fahmi

Fahmi Fadzil, yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan, ketika sidang akhbar mingguan kabinet di Kementerian Komunikasi hari ini. Foto Bernama
Fahmi Fadzil, yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan, ketika sidang akhbar mingguan kabinet di Kementerian Komunikasi hari ini. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kerajaan sedang meneliti Pelan Strategik Kebangsaan Memerangi Masalah Beban Berganda Malpemakanan dalam kalangan kanak-kanak sebelum pengumuman penuh berhubung pelaksanaannya dibuat, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, Jemaah Menteri hari ini menerima laporan terkini daripada Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan dan jawatankuasa kabinet yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai usaha-usaha dan pelan strategik dalam menangani isu berkenaan.

"Ada beberapa ikhtiar, kalau sebelum ini kita ada rancangan makanan tambahan (RMT), dan ada juga dibangkitkan dalam perbincangan ini mengenai sesi persekolahan yang berbeza (iaitu) sesi pagi dan petang maka bukan hanya sekadar melihat satu sesi, kita ingin melihat secara menyeluruh.

"Ini adalah satu perkara yang sangat penting dan sangat dekat dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan kita harap menjelang sidang Parlimen kali ini, kita dapat beberapa perkembangan yang positif khusus berkaitan menguruskan isu ini,” katanya pada sidang akhbar mingguan pascamesyuarat kabinet di sini hari ini.

Ditanya mengenai cadangan untuk menghentikan subsidi pendidikan kepada anak-anak golongan kaya, beliau berkata, mesyuarat Jemaah Menteri hari ini tidak membuat sebarang keputusan mengenai perkara itu.

"Kita belum putuskan, dan ia masih di peringkat penelitian. Ada beberapa perkara yang menjadi prinsip secara umumnya, kalau kita lihat cara isu ini dikendalikan secara umum dari segi prinsip.

"Kalau isu subsidi elektrik sebagai contoh, kita memberi penekanan bahawa 85 peratus daripada pengguna di Semenanjung Malaysia tidak akan terkesan dengan sebarang kenaikan, maka kita boleh ambil itu sebagai satu prinsip," katanya.

Beberapa media sebelum ini melaporkan kemungkinan subsidi pendidikan kepada anak-anak golongan kaya di Institusi Pendidikan Tinggi Awam akan dihentikan, dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pula berkata, ia akan hanya dilaksanakan selepas mendapat kelulusan Kabinet.

Mengenai status Dasar Pengkomputeran Awan Negara, Fahmi berkata, sekiranya terdapat keperluan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membuat pengumuman mengenainya dalam sidang Parlimen atau Belanjawan 2025.

"Dalam isu ini, ia tidak dibincangkan secara khusus dalam mesyuarat hari ini, saya lihat berkemungkinan, ..mungkin (Anwar buat pengumuman) sekiranya Perdana Menteri merasakan ada keperluan untuk membuat pengumuman.

"Kita boleh tunggu dalam belanjawan ataupun sewaktu sidang Parlimen yang akan datang," katanya.

Sebelum ini Perdana Menteri berkata, kerajaan akan memperkenalkan Dasar Pengkomputeran Awan Negara yang memberi penekanan terhadap empat teras utama.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, teras berkenaan adalah inovasi dan kecekapan perkhidmatan awam; daya saing dan pertumbuhan ekonomi; memacu pengembangan ekonomi dengan membolehkan perniagaan mengukuhkan kepercayaan pengguna serta keselamatan data dan pemerkasaan rakyat melalui keterangkuman digital. - Bernama

Artikel Berkaitan:


Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!