[VIDEO] Israel didakwa bakal serang Yemen, Sudan dan Libya
SHAH ALAM - Rejim Zionis didakwa bakal meluaskan serangan ke beberapa negara seperti Yemen, Sudan dan Libya, kata Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali.
Menurutnya, objektif Israel berbuat demikian untuk meningkatkan ketegangan menerusi propaganda untuk menghapuskan pengganas.
“Israel meyakinkan komuniti antarabangsa bahawa genosid yang dilakukan terhadap Gaza untuk memerangi pengganas.
“Mereka (Israel) menggunakan propaganda sama dengan menyerang Lubnan atas alasan mahu menghapuskan Hizbullah.
“Rejim Zionis ini jangka meluaskan serangan dengan alasan sama untuk menyerang Yemen, Sudan dan Libya,” katanya ketika program 'The Palestinian Diaries: A Day of Culture, Stories and Solidarity anjuran Sinar Daily di Kumpulan Karangkraf, pada Selasa.
Sambil mengutuk propaganda yang dipegang oleh rejim Zionis itu, Walid menegaskan tidak semua mangsa yang terbunuh adalah pejuang Hamas dan Hizbullah.
“Setakat 7 Oktober lalu, seramai 41,870 dilaporkan syahid, namun adakah semua pengikut Hamas? Tidak,” tegasnya.
Sementara itu, beliau memaklumkan, ketegangan yang berlaku di Asia Barat akan berhenti sekiranya Palestin diiktiraf sebagai sebuah negara merdeka.
Jelas Walid, selagi kemerdekaan itu tidak dicapai maka Palestin akan terus menderita sekali gus mengakibatkan ketidakstabilan berterusan di Asia Barat.
Ketika ditanya mengenai dakwaan serangan Israel terhadap Palestin bakal berakhir pada 2027, Walid berkata, jika hal tersebut benar maka Gaza akan lenyap secara total.
“Keganasan yang terjadi dalam tempoh setahun ini telah mengakibatkan ramai penduduk Gaza terbunuh.
“Jika peperangan ini dijangka berlanjutan dua atau tiga tahun lagi, populasi Gaza akan hilang,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!