44 taska 'haram' dikesan di Negeri Sembilan
SEREMBAN - Sebanyak 44 taman asuhan kanak-kanak (taska) di Negeri Sembilan, dikenal pasti tidak berdaftar dan beroperasi tanpa kelulusan pihak berwajib.
Exco Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Sembilan, Noorzunita Begum Mohd Ibrahim berkata, Seremban mencatatkan jumlah taska tidak berdaftar paling tinggi iaitu sebanyak 36 taska, Port Dickson (empat), Tampin (tiga) dan Jelebu (satu).
Menurutnya, berdasarkan rekod Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hingga 10 September lalu, sebanyak 126 taska di negeri ini berdaftar di bawah Akta Kanak-Kanak 2001, dengan sebahagian besar iaitu 91 taska beroperasi di Seremban.
Berdasarkan rekod JKM, beliau berkata, 44 daripadanya tidak berdaftar manakala 33 daripadanya pula dalam proses pendaftaran.
"JKM sentiasa membuat pemantauan dari aspek keselamatan dan pematuhan taska ini dari semasa ke semasa.
"Pengusaha taska sendiri sepatutnya bertanggungjawab dengan mengemukakan permohonan pendaftaran sebelum memulakan operasi," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Dalam pada itu katanya, ibu bapa juga perlu bijak dengan menyemak terlebih dahulu status taska dengan JKM sebelum menghantar anak mereka di situ.
Jelasnya, ia penting bagi mengelakkan timbul permasalahan pada masa akan datang terutama dari soal keselamatan anak-anak.
"Saya harap ibu bapa cakna soal taska tempat anak-anak mereka ditempatkan. Jangan pilih kerana harganya murah atau hanya semata-mata dekat dengan lokasi tempat tinggal.
"Tapi pilihlah yang berdaftar bagi memastikan anak-anak mereka dijamin dari segi keselamatan serta perkembangan yang menyeluruh," katanya.
Beliau juga berpendapat, ada sesetengah pengusaha taska menjalankan operasi secara tidak berdaftar kerana beranggapan susah mahu mematuhi beberapa syarat ditetapkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!