Pulau Pinang negeri pertama wujudkan Anjung Komuniti

Ruslin (berdiri, tengah) bertanya sesuatu kepada klien yang hadir di Anjung Komuniti Sungai Ara pada Selasa.
Ruslin (berdiri, tengah) bertanya sesuatu kepada klien yang hadir di Anjung Komuniti Sungai Ara pada Selasa.
A
A
A

BAYAN LEPAS - Pulau Pinang muncul negeri pertama mempunyai Anjung Komuniti dalam usaha mengurangkan kawasan berisiko tinggi (KBT) penagihan dadah di negeri ini.

Ketika ini, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Pulau Pinang mempunyai enam Anjung Komuniti iaitu tiga di Seberang Perai Tengah (Anjung Komuniti Guar Perahu, Anjung Komuniti Kuala Mengkuang dan Anjung Komuniti Bukit Teh), Anjung Komuniti Bakau Tua (Seberang Perai Utara), Anjung Komuniti Sungai Ara (Barat Daya) dan Anjung Komuniti Desa Mawar (Timur Laut).

Inisiatif tersebut merupakan usaha AADK Pulau Pinang bersama rakan strategik, pemimpin negeri dan komuniti setempat di bawah Jawatankuasa Kumpulan Penggerak KBT.

Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh berkata, kewujudan Anjung Komuniti itu adalah sebagai alternatif yang berfungsi sebagai hab, pusat aktiviti dan operasi harian.

Menurutnya, objektif Anjung Komuniti diwujudkan adalah untuk menggembleng peranan dan tanggungjawab serta memperkasa jalinan kerjasama semua pihak melalui jawatankuasa berkenaan.

"Anjung Komuniti ini turut menyedia maklumat antidadah dan aktiviti pencegahan dadah serta perkhidmatan kaunter khidmat nasihat, rujukan advokasi bagi mengukuhkan rasa selamat penduduk setempat.

"Seterusnya, ia turut dijadikan pusat penyedia perkhidmatan rawatan dan pemulihan dalam komuniti kepada klien dan ahli keluarga yang memerlukan," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Program Jom Singgah@Anjung Komuniti Sungai Ara di sini pada Selasa.

Tambah Ruslin, usaha yang baik itu dilihat perlu diteruskan di negeri-negeri lain dalam usaha mengurangkan jumlah KBT kepada kawasan berisiko rendah (KBR).

Artikel Berkaitan:

"Komitmen untuk menangani isu penagihan dadah bukan terletak kepada AADK semata-mata, malah komuniti, masyarakat dan agensi kerajaan perlu bersama-sama membantu kita.

"Amat mustahil untuk kita bergerak sendirian. Memberi fasiliti seperti ini di tengah bandar bukan mudah. AADK akan memberi cadangan kepada kerajaan negeri untuk mengadakan program dalam menangani isu penagihan dan rawatan.

"Kita percaya, semua kerajaan negeri sangat memberi sokongan sehingga memberi bantuan daripada segi kewangan untuk kita melaksanakan program-program kita," katanya.

Beliau berkata, AADK sedang dalam perancangan untuk mewujudkan Anjung Komuniti di negeri lain.

"Inisiatif Anjung Komuniti ini kita akan kembangkan ke negeri-negeri lain. Itu yang saya fikirkan untuk pada masa hadapan dengan harapan semua pihak bersama dengan kita.

"Ada sebahagian (kerajaan negeri) dalam perancangan, tetapi libat urus belum lagi kita buat. Pulau Pinang adalah contoh terbaik," katanya.

Untuk rekod, bagi tempoh Ogos 2023 hingga Julai 2024, seramai 4,315 orang telah menerima perkhidmatan Anjung Komuniti meliputi 638 program anjuran AADK Pulau Pinang dengan kerjasama rakan strategik dan rakan pintar AADK.

Dalam pada itu, Ruslin berkata, Pelan Strategik AADK bagi tempoh 2021 hingga 2025 telah mengklasifikasikan sebanyak 155 kawasan tumpuan menerusi inisiatif program pengurangan KBT penagihan dadah di seluruh negara.

Menurutnya, daripada jumlah itu, untuk tahun ini, inisiatif pengurangan KBT menyasarkan sebanyak 117 KBT (75 peratus) iaitu 39 KBT berstatus KBR, 39 KBT berstatus pengekalan dan 39 KBT merupakan KBT semasa (2024).

"Hasil kerjasama yang digerakkan dengan semua pihak, usaha inisiatif ini mempamerkan pencapaian positif. Berdasarkan laporan sehingga 31 Ogos tahun ini mendapati 39 KBT kekal berstatus KBR manakala 39 KBT pengekalan berjaya dikekalkan dan 32 KBT tahun semasa telah berstatus hijau sementara tujuh kawasan lagi masih berstatus kuning.

"Tujuh KBT berstatus kuning ialah Kuala Kedah (Kota Setar), Batu Talam (Raub), Kuala Kuantan (Kuantan), Gelugor (Kuala Terengganu), Pangkalan Chepa (Kota Bharu), Malim (Melaka) dan Teluk Kalong (Kemaman)," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!