Pertempuran Hizbullah-Israel makin sengit

Kepulan asap tebal memenuhi ruang udara bandar Tyre setelah perkampungan di selatan Lubnan terus dibedil IDF. Foto AFP
Kepulan asap tebal memenuhi ruang udara bandar Tyre setelah perkampungan di selatan Lubnan terus dibedil IDF. Foto AFP
A
A
A

BEIRUT - Pejuang Hizbullah melancarkan roket ke bandar ketiga terbesar di Tel Aviv pada Isnin ketika Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mahu memperluaskan operasi darat di selatan Beirut ketika komuniti antarabangsa memperingati ulang tahun pertama perang genosid ke atas Gaza.

Gerakan disokong Iran itu memaklumkan serangan balas tersebut dilancarkan di kawasan utara Haifa selepas rejim Zionis mengesahkan kira-kira 135 projektil memasuki wilayah Israel dan turut menyebabkan 10 orang cedera.

Insiden itu berlaku ketika unit udara IDF memperhebatkan kempen pengeboman ke atas sasaran Hizbullah di selatan Beirut.

IDF yang melancarkan operasi darat terhad ke atas sempadan Lubnan pada minggu lalu dikatakan semakin mara ke beberapa kawasan ketika pejuang Hizbullah cuba menghalang kempen pencerobohan tersebut.

Terbaharu, Divisyen ke-91 dilaporkan telah dikerahkan ke selatan Beirut selepas terlibat operasi ketenteraan selama setahun di utara Israel, di mana serangan rentas sempadan terus meningkat sepanjang 12 bulan lalu.

Kemaraan itu dihebahkan kepada umum setelah unit infantri dan kereta kebal bergerak ke wilayah Lubnan, sehari selepas pasukan komando menyusup masuk ke zon tempur tersebut.

IDF bagaimanapun tidak memberikan butiran lanjut tentang operasi itu dan kononnya tidak merancang untuk mengerahkan mereka lebih jauh ke tengah Lubnan.

Zionis yang cuba menyembunyikan jumlah kematian anggota mereka bagaimanapun mendedahkan dua lagi anggota maut di zon tempur, sekali gus menjadikan angka terkini meningkat kepada 11 orang.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Kementerian Kesihatan di Lubnan memberitahu seramai 10 anggota bomba terkorban ketika bangunan majlis perbandaran di Bint Jbeil dibedil bertalu-talu dan meragut 22 nyawa.

Kira-kira 100 jet pejuang musuh melancarkan kempen pengeboman ganas menyasarkan 120 sasaran di selatan Beirut termasuk markas unit khas digelar Radwan, pasukan misil dan direktorat risikan Hizbullah.

"Operasi ini bertujuan untuk melumpuhkan pusat perintah dan kawalan gerakan itu serta membantu unit infantri mencapai matlamat mereka," ujar IDF dengan angkuh dalam satu kenyataan.

Sejak konflik baharu Hizbullah-Israel tercetus kira-kira seminggu lalu, lebih 2,000 kematian termasuk wanita dan kanak-kanak direkodkan, sekali gus mencetuskan kebimbangan jika Lubnan berisiko menjadi Gaza kedua di tengah-tengah situasi yang semakin tegang di Asia Barat. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!