Monsun Timur Laut diramal bermula lebih awal

Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Majlis Penutup Konvensyen Rakan Nadma 'Malaysia MADANI, Siaga Bencana' di Putrajaya pada Selasa. Foto Bernama
Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Majlis Penutup Konvensyen Rakan Nadma 'Malaysia MADANI, Siaga Bencana' di Putrajaya pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Orang ramai digesa bersiap sedia bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang diramal bermula lebih awal iaitu penghujung bulan ini berbanding lazimnya pada awal November, susulan perubahan cuaca.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kesiapsiagaan harus dilakukan oleh agensi berkaitan dan rakyat yang berada di berisiko banjir.

"Kesiapsiagaan dilakukan oleh semua agensi penguatkuasaan dan badan bukan kerajaan (NGO) serta mobilisasi dijalankan secara berstruktur.

"Hari ini juga kita menyaksikan kertas dasar dilakukan dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang mengkoordinasi kerjasama di antara badan bukan kerajaan (NGO) untuk melakukan rejuvenasi mengurangkan risiko bencana," katanya.

Beliau berkata demikian di sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Rakan Nadma 'Malaysia MADANI, Siaga Bencana' di sini pada Selasa.

Menurutnya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah mengenalpasti kawasan yang berisiko terutamanya banjir termenung di Pantai Barat Semenanjung bermula Perlis sehingga ke Johor.

"Jabatan Meteorologi (MET Malaysia) akan mengeluarkan amaran lima hari lebih awal sebelum berlaku hujan melampau atau fenomena air pasang besar.

"Kita akan maklumkan kepada Jawatankuasa di peringkat negeri dan daerah," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) menasihati agar orang ramai turut bersedia menghadapi segala kemungkinan terutamanya mereka yang berada di kawasan berisiko.

"Nasihat untuk berpindah harus dipatuhi dengan sebaiknya kerana ia untuk faedah mereka bagi mengurangkan risiko (kehilangan nyawa)," ujar beliau.

MTL membawa hujan lebat terutamanya kepada negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia, Barat Sarawak dan Timur Sabah manakala Monsun Barat Daya secara relatifnya menunjukkan cuaca yang lebih kering.

Ia menyaksikan empat hingga enam episod hujan lebat berterusan sepanjang MTL yang dijangka berakhit pada Mac tahun depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!