Indonesia selesai siasat kes seleweng, pengubahan wang haram pemimpin Al-Zaytun

Panji juga menarik perhatian kerana membenarkan wanita berdiri bersama lelaki semasa solat Aidilfitri di masjid. - Foto: Bernama
Panji juga menarik perhatian kerana membenarkan wanita berdiri bersama lelaki semasa solat Aidilfitri di masjid. - Foto: Bernama
A
A
A

JAKARTA - Pejabat Peguam Negara Indonesia mengesahkan fail kes siasatan penyelewengan dan pengubahan wang haram membabitkan Panji Gumilang, pengasas sekolah berasrama penuh Islam Al-Zaytun, telah lengkap.

Ditubuhkan pada Ogos 1996 di kampung Mekarjaya, mukim Gantar, daerah Indramayu, wilayah Jawa Barat, Maahad Al-Zaytun diiktiraf kerana bilangan pelajar yang ramai dan jangkauan antarabangsanya, termasuk pelajar dari Malaysia.

Harli Siregar, jurucakap Pejabat Peguam Negara, berkata, "Ya, fail kes mengenai kes pengubahan wang haram Panji lengkap dalam kedua-dua aspek prosedur dan substantif," seperti yang dipetik oleh CNN Indonesia.

Pejabat itu kini sedang menunggu pemindahan bukti dan Panji daripada Direktorat Jenayah Ekonomi Khas Polis Siasatan Jenayah, manakala pendakwa raya sedang bersiap sedia untuk merangka dakwaan terhadap Panji untuk perbicaraan, dengan garis masa bergantung kepada kesediaan penyiasat, tambah Harli.

Panji, yang dibebaskan pada 17 Julai selepas menjalani hukuman penjara setahun kerana sabitan menghina agama, kini berdepan tuduhan menggelapkan 73 bilion rupiah, kira-kira AS$4.7 juta, daripada Yayasan Pesantren Indonesia untuk kegunaan peribadi, termasuk barangan mewah dan tanah.

Untuk menampung pinjaman yang didakwa ini, dia dilaporkan mengakses dana yayasan daripada pelbagai sumbangan, termasuk daripada ibu bapa pelajar.

Tahun lalu, beliau menghadapi kontroversi kerana video tular yang menonjolkan peraturan penjarakan fizikalnya di Masjid Al-Zaytun selepas Covid-19, bersama-sama dengan soalan tentang tafsirannya terhadap al-Quran dan insiden pelajar menyanyikan lagu Yahudi.

Panji juga menarik perhatian kerana membenarkan wanita berdiri bersama lelaki semasa solat Aidilfitri di masjid dan mencadangkan pelajar perempuan memimpin solat Jumaat, tindakan yang mencetuskan tuduhan menyeleweng ajaran Islam di negara majoriti Islam. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!