Taufan Milton: Rakyat Malaysia di Florida dinasihatkan berwaspada

Amaran cuaca dipaparkan di sepanjang kaki lima ketika Taufan Milton bergelora di Teluk Mexico pada Isnin di Tampa, Florida. - Foto: AFP
Amaran cuaca dipaparkan di sepanjang kaki lima ketika Taufan Milton bergelora di Teluk Mexico pada Isnin di Tampa, Florida. - Foto: AFP
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Luar Malaysia menasihati rakyat Malaysia di Florida agar kekal berwaspada ketika Taufan Milton, yang kini berada pada Kategori 5, menghampiri Pantai Teluk Amerika Syarikat.

Memetik Pusat Taufan Nasional (NHC) Amerika Syarikat, kementerian berkata taufan itu mencatatkan kelajuan angin sehingga 281 km/j dan "dijangka melanda daratan pada Rabu malam atau awal pagi Khamis."

"Taufan Milton dijangka membesar dan kekal sebagai taufan yang sangat berbahaya dengan paras air melimpahi sungai, ribut dan ombak yang mengancam nyawa, hujan lebat serta angin kencang yang dijangka berlaku,” katanya.

Sehubungan itu, kementerian menasihati rakyat Malaysia yang menetap atau melawat Florida agar sentiasa berwaspada dan mematuhi semua arahan pemindahan serta keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.

"Memandangkan tahap keseriusan Taufan Milton, penting untuk terus mendapat maklumat daripada sumber yang boleh dipercayai dan membuat persediaan sewajarnya,” menurut kenyataan itu.

Kementerian turut menggalakkan rakyat Malaysia supaya mendaftar kehadiran mereka melalui E-Konsular bagi mendapatkan kemas kini dan bantuan yang sewajarnya.

Bagi mendapatkan bantuan konsular di Florida, rakyat Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Malaysia di Washington DC di 3516 International Court N.W., Washington DC, 20008 atau melalui nombor telefon +1 (202) 375 4396 dan alamat e-mel mwwashington@kln.gov.my / consularwdc@kln.gov.my.

Kementerian itu berkata pihaknya akan terus memantau situasi berkenaan dan memberikan kemas kini yang diperlukan untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua rakyat Malaysia di kawasan yang terjejas.

Artikel Berkaitan:

Media antarabangsa memetik pusat taufan sebagai berkata sehingga 381 milimeter hujan mungkin berlaku di beberapa kawasan terpencil. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!