Syarat ketat pemasangan menara talian, elak santuari ikan kelah terjejas

Izham (tengah) meninjau kerja pemasangan menara talian TNB di Sungai Chiling pada Selasa.
Izham (tengah) meninjau kerja pemasangan menara talian TNB di Sungai Chiling pada Selasa.
A
A
A

HULU SELANGOR - Kerajaan negeri meletakkan syarat ketat terhadap pemasangan menara talian di bahagian atas Sungai Chiling bagi memastikan tidak menjejaskan Santuari Ikan Kelah di sini.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Izham Hashim berkata, ia merupakan sebahagian projek penghantar Tenaga Nasional Berhad (TNB) 500KV membabitkan jajaran 8.3 kilometer (km) di Selangor.

Menurutnya, pematuhan skop kerja sentiasa dipantau selain beberapa langkah turut diambil bagi memastikan projek berjalan lancar dan dalam masa sama pemeliharaan kawasan sensitif itu terus terpelihara serta tidak tercemar.

"River monitering system dipasang bagi memantau parameter air termasuk paras ammonia dan tahap kekeruhan selain sampel air diambil dari semasa ke semasa bagi memastikan kualitinya terjamin.

"Alhamdulillah projek berjalan baik setakat tiga bulan ini, bacaan indeks kualiti air terkawal dan tidak melebihi had ditetapkan," katanya selepas membuat tinjauan tapak projek TNB serta Ekspedisi Santuari Ikan Sungai Chiling di sini pada Selasa.

Bukaan jalan bagi kerja pemasangan menara talian TNB di Sungai Chiling pada Selasa.
Bukaan jalan bagi kerja pemasangan menara talian TNB di Sungai Chiling pada Selasa.

Izham berkata, projek tersebut dijadualkan siap Oktober depan selepas tertangguh hampir tiga tahun kerana mengambil masa untuk proses pelaksanaan membabitkan isu logistik.

Mengulas lanjut katanya, kerajaan negeri sebelum ini mencadangkan penggunaan helikopter berbanding bukaan jalan untuk membantu kerja-kerja pemasangan menara berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Disebabkan projek terletak di kawasan sensitif jadi kita tidak mahu sebarang jalan masuk dibuka berhampiran Sungai Chiling kerana dikhuatiri memberi kesan kepada kestabilan cerun dan kekeruhan air yang boleh jejaskan Santuari Ikan Kelah.

"Apabila berbincang semula TNB hadapi kesukaran pelaksanaan kerana kos penggunaan helikopter tinggi selain masalah perlukan kepakaran untuk kawalan dan juga pamasangan pembinaan menara.

"Susulan itu, cadangan bukaan jalan dipersetujui namun diletakkan syarat ketat bagi memastikan projek tidak beri kesan kepada kawasan sensitif ini," katanya.

Jelasnya, kelulusan diberikan susulan projek itu penting dianggap tulang belakang kepada kestabilan bekalan eletrik dalam negara.

Tambah beliau, projek talian penghantar TNB 500KV sepanjang 226 km dibina dari pencawang masuk utama (PMU) Bentong, Pahang melalui Selangor sehingga PMU Tapah, Perak.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!