Anak yatim ditemui tanpa berpakaian dengan kesan luka dalam bilik

Seorang kanak-kanak lelaki ditemui dalam keadaan tanpa berpakaian dengan kesan luka pada badan di sebuah rumah di Port Dickson dipercayai didera.
Seorang kanak-kanak lelaki ditemui dalam keadaan tanpa berpakaian dengan kesan luka pada badan di sebuah rumah di Port Dickson dipercayai didera.
A
A
A

PORT DICKSON - [DIKEMAS KINI] Penemuan seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dalam keadaan tanpa berpakaian dengan kesan luka pada badan di dalam bilik sebuah rumah di Batu 4 di sini membongkar perbuatan dera dipercayai dilakukan bapa angkatnya.

Kejadian itu diketahui selepas seorang wanita warga emas yang menjaganya sebelum ini berasa tidak sedap hati selepas gagal menghubungi mangsa.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Maslan Udin berkata, polis menerima maklumat kejadian daripada seorang wanita berusia 67 tahun pada 3 Oktober lalu.

"Pengadu mengatakan mangsa ditemui dalam keadaan menangis dan terdapat kesan luka pada bahagian tubuh badannya.

"Bertindak atas maklumat itu, polis telah membuat tangkapan berasingan ke atas tiga lelaki di Taman Desa Rusa, Port Dickson dan Taman Dataran Segar, Lukut serta menyelamatkan mangsa yang berada di dalam bilik," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, siasatan mendapati kanak-kanak tersebut merupakan anak yatim yang kematian bapa dan ditinggalkan oleh emak kandung sejak zaman kecil.

Ujarnya, mangsa kemudiannya telah dijaga oleh pengadu di Klang, Selangor sebelum diserahkan kepada bapa angkat pada tahun 2021.

"Sepanjang dalam tempoh jagaan pengadu, mangsa dalam keadaan baik dan sentiasa berhubung melalui panggilan video dan telefon.

Artikel Berkaitan:

"Namun pada awal Oktober, mangsa gagal dihubungi. Anak pengadu telah pergi melihat dan mendapati mangsa dalam keadaan cedera, menangis dan diletakkan di atas lantai tanpa berpakaian," katanya.

Jelas beliau, kesemua suspek yang ditahan berusia antara 32 sehingga 36 tahun dan bekerja sebagai jurusolek.

Tambahnya, pemeriksaan mendapati, kesemua suspek mempunyai pelbagai kesalahan lampau melibatkan dadah dan jenayah.

"Ujian saringan air kencing turut mendapati seorang suspek positif methamphetamin.

"Siasatan awal mendapati, punca suspek memukul mangsa kerana mangsa degil dan membuang air kecil di merata tempat di dalam rumah," katanya.

Selain itu katanya, turut dirampas senjata yang digunakan iaitu rotan bulu ayam dan pemanas air.

Maslan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan kesemua mereka direman sehingga Khamis ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!