Kejayaan di Indonesia, Pengerusi Finas puji Anna Jobling

Dua filem lakonan Anna kini mendapat sambutan hangat di Indonesia.
Dua filem lakonan Anna kini mendapat sambutan hangat di Indonesia.
A
A
A

PENGERUSI Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Kamil Othman menyifatkan pencapaian Anna Jobling sebagai pelakon utama dalam filem Indonesia, Lembayung dan Laut Tengah sebagai satu kebanggaan besar bukan sahaja untuk dirinya tetapi buat industri filem Malaysia.

Menurut Kamil, amat mencabar bagi pelakon Malaysia diberikan kepercayaan memegang watak utama dalam filem terbitan Indonesia, memandangkan filem Malaysia sukar menambat hati penonton di negara tersebut.

“Walaupun beberapa pelakon Malaysia berjaya mencipta nama di Indonesia, terutamanya dalam siri televisyen, Anna benar-benar layak menerima pujian kerana berjaya memegang watak utama dalam filem yang ditayangkan di pawagam. Ini adalah pencapaian yang kita patut banggakan,” katanya.

Anna bersama Kamil (tiga dari kiri), turut kelihatan pengarah Duyung Aurora iaitu Prof Datuk Dr A Razak Mohaideen dan penerbit, Datuk Norman Abd Halim.
Anna bersama Kamil (tiga dari kiri), turut kelihatan pengarah Duyung Aurora iaitu Prof Datuk Dr A Razak Mohaideen dan penerbit, Datuk Norman Abd Halim.

Ujar Kamil lagi, beliau secara peribadi yakin kejayaan Anna akan memperkukuhkan lagi hubungan antara industri filem Malaysia dan Indonesia sekali gus membuka jalan untuk lebih banyak bakat tempatan menempa nama di peringkat antarabangsa.

“Kami di Finas berharap kerjasama antara Malaysia dan Indonesia akan semakin kukuh dengan lebih banyak projek filem bersama yang komersial, terutamanya apabila Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN tahun depan,” ujarnya.

Beliau juga menambah Finas sedang merangka dasar dan strategi baru untuk memajukan industri perfileman tempatan ke peringkat antarabangsa.

Sementara itu, Anna meluahkan rasa syukur dan gembira dengan penghargaan yang diberikan oleh pengerusi Finas itu.

Artikel Berkaitan:

“Saya bersyukur dan berterima kasih atas penghargaan diberikan. Kejayaan ini bukanlah milik saya seorang, tetapi hasil daripada sokongan ramai pihak termasuk pihak pengurusan saya, pasukan produksi dan peminat.

“Saya berharap kejayaan ini dapat membuka lebih banyak peluang kepada pelakon dan penggiat seni tempatan untuk menembusi pasaran antarabangsa.

“Saya juga teruja untuk terus berusaha mengangkat nama industri perfileman Malaysia ke tahap yang lebih tinggi,” tuturnya.

Dalam masa sama, Anna kini sedang terlibat dalam pembikinan filem Duyung – Legenda Aurora bersama bintang-bintang terkenal seperti Maya Karin, Saiful Apek, dan Datuk Yusry Abdul Halim, yang dijangka akan ditayangkan pada September 2025.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!