Malaysia berada di titik penentu, maju ke hadapan atau ketinggalan - Anwar

Anwar
Anwar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia berada di titik penentu yang kritikal, sama ada maju hadapan menuju ke arah keterjaminan dan kemakmuran pada masa depan atau ketinggalan di belakang terdedah kepada proses 'kebinasaan', kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, langkah terbaik adalah pembangunan yang berpandangan ke hadapan dan berorientasikan penyelesaian, menumpu kepada kesejahteraan rakyat dengan menangani ketidaksamaan, di samping memupuk minda saling bertanggungjawab dan berinovasi.

"Sebagai Perdana Menteri yang menjanjikan pembaharuan struktur, saya tidak boleh terlalu berbangga dengan pertumbuhan memberangsangkan ekonomi suku tahunan atau lonjakan nilai tukaran ringgit tahun ini.

"Saya sedar sebahagian besar rakyat masih mengalami kekangan kewangan, yang secara perlahan-lahan menjejaskan kualiti hidup mereka," kata beliau menerusi profil LinkedIn rasminya pada Selasa.

Perdana Menteri berkata, ekonomi sesebuah negara adalah kompleks, dan pembaharuan akan mempengaruhi banyak perkara termasuk kepentingan yang diselubungi dengan beberapa isu yang boleh diselesaikan melalui dasar, namun yang lain memerlukan hujah dan dorongan moral untuk ditangani.

"Saya tahu ramai yang tidak sabar-sabar untuk melihat perubahan kepada ekonomi. Namun, saya mengingatkan diri saya bahawa pembaharuan yang berkekalan memerlukan pelaksanaan secara berhemat dan beransur-ansur.

"Langkah-langkah yang diambil secara terburu-buru boleh menyebabkan kejutan ekonomi yang tidak diingini dan penolakan oleh rakyat," kata beliau.

Sehubungan itu, kata Anwar, beliau mengambil kesempatan semasa ucapan perasmian Forum Megatrends Khazanah 2024 pada Isnin untuk membentangkan hujah dan fakta bagi penjelasan.

Artikel Berkaitan:

"Dalam dewan yang dipenuhi dengan ahli ekonomi, pemimpin korporat dan pegawai kerajaan, saya berkongsi perspektif saya tentang bagaimana sistem ekonomi semasa yang mengagungkan kapitalisme, memastikan orang kaya terus berkuasa dan menguasai ekonomi, manakala orang miskin dibiarkan terpinggir.

"Berdekad lalu, saya menerbitkan sebuah buku 'The Asian Renaissance' yang mana saya berhujah walaupun produktiviti adalah kunci kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan, dana awam perlu ditumpukan untuk membina modal insan, terutamanya melalui pendidikan dan penjagaan kesihatan.

"Membasmi kemiskinan dan mewujudkan kehidupan berperikemanusiaan serta memastikan keadaan tempat bekerja yang baik perlu sentiasa menjadi keutamaan," kata beliau.

Perdana Menteri berkata, keputusan Kerajaan Madani untuk melaraskan tarif elektrik dan menyasarkan semula subsidi merupakan antara beberapa pembaharuan yang dilaksanakan untuk memastikan industri kaya dan besar membayar jumlah yang wajar bagi mereka, manakala majoriti rakyat terus mendapat manfaat daripada subsidi yang mereka layak.

"Kerajaan juga telah merangka pelbagai dasar untuk menangani kemerosotan alam sekitar dan produktiviti yang rendah, seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.

"Tetapi rancangan ini hanya akan berjaya sekiranya sektor swasta menyertai kami dalam misi kami," kata Anwar. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!