Mohon harga diesel dikembalikan, dua lelaki fail kebenaran semakan kehakiman
KUALA LUMPUR - Dua lelaki memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin, atas tindakan Perdana Menteri dan tiga menteri kabinet menghapuskan dan menyasarkan subsidi diesel dengan penetapan harga runcit RM3.35 untuk setiap liter, berbanding harga asal RM2.15, pada 10 Jun lalu.
Azhani Marlan @ Abd Halim, 47, dan Mohd Hatta Sanuri, 48, selaku pemohon pertama dan kedua, memfailkan demikian menerusi Tetuan Mohaji, Hazury & Ismail.
Mereka menamakan kerajaan, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan; Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali serta Menteri Pengangkutan, Anthony Loke sebagai responden pertama hingga keenam.
Menerusi dokumen permohonan itu, dua individua berkenaan memohon, antaranya perisytiharan bahawa keputusan semua defendan adalah tidak rasional, tidak munasabah, tidak wajar, tidak logik, tidak adil serta tidak sah di sisi undang- undang.
Mereka mendakwa, ia melanggar hak sama rata setiap warganegara menurut Perkara 8(1), (2), (3) dan (4) Perlembagaan Persekutuan.
Pemohon turut mendesak perisytiharan subsidi diesel seperti harga asal RM2.15 atau harga subsidi yang lain seperti sebelum ini menurut Seksyen 5 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Perkara Jadual 1 Peraturan- Peraturan Kawalan Bekalan 1974 di Semenanjung Malaysia dikembalikan, dikuatkuasakan dan diberikan semula kepada semua rakyat di Semenanjung Malaysia.
"Kami juga memohon perintah perisytiharan bahawa keputusan kerajaan itu adalah terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang.
"Tindakan semua responden menyebabkan rakyat di Semenanjung menderita akibat kenaikan harga barangan dan perkhidmatan mendadak dan tinggi," kata pemohon.
Pemohon ini juga berharap, kerajaan dapat membayar semula dan semua pengguna lebihan bayaran diesel mengikut formula Automatic Pricing Mechanism (APM) untuk ditaksirkan kepada mereka termasuk pengguna diesel.
Ia termasuk ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan yang bakal ditaksirkan oleh mahkamah, kepada semua rakyat di semenanjung.
Ini memandangkan penetapan harga runcit diesel hanya melibatkan pengguna di Semenanjung dengan pengecualian penuh untuk seluruh Sabah dan Sarawak termasuk Labuan.
Pada 9 Jun lalu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, harga diesel tanpa subsidi akan dijual pada kadar RM3.35 seliter oleh semua stesen minyak runcit di seluruh Semenanjung, bermula jam 12 tengah malam.
Beliau berkata, harga diesel tanpa subsidi ini sama ada berubah atau tidak, akan diumumkan setiap Rabu seperti amalan semasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!