Usaha kalahkan penentangan Palestin tidak realistik - Tinjauan
TEHRAN - Tinjauan pendapat Israel menunjukkan bahawa 53 peratus peneroka Israel percaya bahawa sudah tiba masanya untuk menamatkan perang di Semenanjung Gaza dan cuba mengalahkan penentangan Palestin adalah matlamat yang tidak realistik, lapor Agensi Berita Republik Islam (IRNA).
Hasil tinjauan yang dijalankan oleh Pusat Keluarga Viterbi untuk Pendapat Awam dan Penyelidikan Dasar diterbitkan dalam akhbar Zionis Ma'ariv, menunjukkan bahawa 53 peratus Zionis percaya bahawa sudah tiba masanya untuk menamatkan perang di Gaza.
Hampir dua pertiga daripada peneroka Zionis tidak berasa selamat selepas Operasi Ribut Al-Aqsa, yang dijalankan oleh gerakan penentangan Palestin Hamas Oktober lepas, dan 62 peratus percaya bahawa pemulangan tahanan Israel dari Gaza adalah matlamat utama rejim Zionis.
Tinjauan pendapat itu juga menunjukkan bahawa 29 peratus menganggap kemusnahan gerakan Hamas sebagai matlamat utama rejim Israel.
Peserta tinjauan turut memberikan penilaian rendah terhadap prestasi pegawai politik dan tentera atasan Israel, termasuk Menteri Keselamatan Dalam Negeri yang berhaluan keras, Itamar Ben-Gvir; Ketua Pembangkang, Yair Lapid dan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, yang menerima markah terendah. - Bernama-IRNA
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!