Perak bantu percepatkan proses bantuan pesawah

Norsiyenti bercakap kepada pemberita pada Selasa.
Norsiyenti bercakap kepada pemberita pada Selasa.
A
A
A

KUALA KANGSAR - Jabatan Pertanian Perak berusaha mempercepatkan permohonan bantuan melalui Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) untuk pesawah di negeri ini yang terjejas akibat bencana.

Pengarah Pertanian negeri, Norsiyenti Othman berkata, berdasarkan laporan terdapat lebih 2,000 hektar sawah terjejas melibatkan 1,375 petani di daerah Kerian, Hilir Perak dan Perak Tengah.

Menurutnya, semua kawasan tersebut mengalami kemusnahan tanaman disebabkan banjir, ribut dan cuaca kemarau yang melanda.

"Di peringkat negeri, kita telah pun meluluskan sejumlah permohonan bantuan TBTP untuk diangkat ke peringkat Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal TBTP di Ibu Pejabat Putrajaya.

"Bagi permohonan pesawah yang dilanda bencana di Kerian, kelulusan peringkat negeri akan dibuat dalam mesyuarat pada Jumaat ini bersama LPP (Lembaga Pertubuhan Peladang), MARDI (Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia) dan IADA (Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu) Kerian.

"Biasanya peringkat negeri kita tidak ada masalah, semua permohonan yang dibuat lengkap bersama dokuman seperti laporan polis dan gambar semasa bencana, memang akan diluluskan untuk dibawa ke peringkat seterusnya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Peluncuran Program Sekuriti Makanan (tanaman betik) Masjid Negeri Perak di Masjid Al Lattifiyah Kampung Loh, Karai di sini pada Selasa.

Norsiyenti berkata, permohonan yang diluluskan akan menerima bantuan yang disalurkan menerusi LPP ke akaun pesawah terlibat.

Artikel Berkaitan:

"Proses ini akan mengambil masa mungkin lima ke enam bulan kerana ia melibatkan kelulusan bajet di peringkat Jawatankuasa Induk," katanya.

Sinar Harian pada Ogos lalu melaporkan keluhan pesawah di daerah Kerian yang terkesan akibat cuaca panas dan kering yang melanda negara ketika itu.

Keadaan sawah yang kering-kontang menyebabkan petani mengalami kerugian teruk akibat tanaman padi yang tidak menjadi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!