Indonesia hantar bantuan kemanusiaan ke Yemen, Sudan, Palestin, Vietnam

Seorang pekerja mengangkut bantuan kemanusiaan daripada kerajaan Indonesia untuk Palestin dan Sudan di Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma di Jakarta pada 3 April 2024. Foto Antara
Seorang pekerja mengangkut bantuan kemanusiaan daripada kerajaan Indonesia untuk Palestin dan Sudan di Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma di Jakarta pada 3 April 2024. Foto Antara
A
A
A

JAKARTA - Kerajaan Indonesia mengumumkan rancangan untuk menghantar bantuan kemanusiaan kepada Yemen, Sudan, Palestin dan Vietnam, kesemuanya sedang berdepan bencana alam serta konflik bersenjata, lapor Agensi Berita ANTARA.

Menteri Penyelaras Pembangunan Manusia dan Kebudayaan, Muhadjir Effendy, pada Selasa berkata, kerajaan akan menggunakan dana yang diuruskan oleh Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB) untuk menyalurkan bantuan bernilai AS$1 juta masing-masing kepada Yemen, Sudan, dan Palestin.

Sebanyak AS$1 juta lagi daripada Kementerian Kewangan akan disalurkan kepada Vietnam, tambahnya.

"Kami juga akan menghantar AS$78,500 ke Sudan, yang didermakan oleh rakyat Indonesia melalui Badan Amil Zakat Nasional (Baznas). Sumbangan ini akan diedarkan bersama bantuan kerajaan," kata Effendy.

Beliau menambah penghantaran bantuan kemanusiaan keempat-empat negara itu dijadualkan pada 14 Oktober.

Menurut data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), banjir kilat akibat hujan lebat di Yemen telah menyebabkan puluhan kematian dan memaksa lebih 250,000 orang menjadi pelarian sejak Julai tahun ini.

Effendy menjelaskan bahawa Yemen kini menghadapi krisis kemanusiaan yang teruk akibat konflik ganas antara kerajaan Yaman dan kumpulan bersenjata Houthi, yang telah merosakkan infrastruktur kesihatan dengan teruk.

Mengenai Sudan, beliau menyatakan bahawa penduduknya menghadapi kesukaran yang melampau untuk mendapatkan perkhidmatan perubatan akibat ketidakselamatan, kekurangan ubat-ubatan, peralatan perubatan, kakitangan kesihatan dan dana yang diperlukan untuk menjalankan kemudahan kesihatan.

Artikel Berkaitan:

Sudan telah dilanda konflik sejak April 2023 apabila tenteranya bertempur dengan Pasukan Sokongan Pantas. Menurut PBB, perang itu telah mengorbankan sekurang-kurangnya 12,260 orang dan mencederakan lebih 33,000 yang lain.

Effendy turut menyoroti situasi di Palestin, menyatakan bahawa serangan kejam dan sewenang-wenang oleh penjajah Israel sejak tahun lepas telah menyebabkan Gaza menjadi lautan runtuhan, dengan puluhan ribu orang terbunuh, kebanyakannya kanak-kanak.

Mengenai Vietnam, Effendy menjelaskan bahawa Taufan Yagi pada September telah menyebabkan hujan lebat, banjir, dan tanah runtuh, menghancurkan hampir 137,000 rumah dan memaksa lebih 130,000 orang mencari perlindungan.

"Indonesia akan sentiasa berusaha untuk memberikan bantuan bagi meringankan penderitaan saudara-saudara kita di negara ini," tegasnya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!