Ganjaran RM200 menanti setiap hari

Reruai Karya Anak Pahang di Moh Karnival Makmur, Cameron Highlands baru-baru ini.
Reruai Karya Anak Pahang di Moh Karnival Makmur, Cameron Highlands baru-baru ini.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang giat mencari rakyat negeri itu yang berbakat untuk menghasilkan karya dalam bidang penulisan dan penghasilan video.

Pengarah Komunikasi Strategik Negeri Pahang, Khairul Anwar Ahmad Nadzer berkata, karya terpilih akan diangkat dan diiktiraf melalui Pertandingan Karya Anak Pahang.

Menurutnya, ganjaran sebanyak RM200 diberikan kepada seorang pemenang pada setiap hari.

Khairul Anwar
Khairul Anwar

“Kita ingin meraikan karya mereka kerana kita sedar dalam keadaan sekarang ini mereka berkarya di media sosial tanpa mendapat pengiktirafan atau perhatian yang sewajarnya.

“Jadi, kami mengambil kesempatan ini untuk melibatkan mereka yang berbakat dalam berkarya melalui pertandingan yang akan diadakan ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Program Karya Anak Pahang adalah hasil pengumuman dalam Belanjawan 2024 yang bertujuan memupuk dan menghargai bakat warga tempatan dalam bidang penulisan, penghasilan gambar dan video yang dilaksanakan pada Februari lalu.

Tambah Khairul Anwar, tema berbeza akan ditetapkan pada setiap bulan, dengan bulan ini memberi tumpuan pada masakan tradisi Pahang.

Artikel Berkaitan:

Karya Anak Pahang bertujuan memupuk dan menghargai bakat warga tempatan dalam bidang penulisan, penghasilan gambar dan video.
Karya Anak Pahang bertujuan memupuk dan menghargai bakat warga tempatan dalam bidang penulisan, penghasilan gambar dan video.

“Program ini terbuka kepada semua warga Pahang atau sesiapa sahaja yang bermastautin di negeri ini.

“Tidak ada had umur dan mereka boleh hantar penyertaan berkali-kali tapi perlu mengikuti garis panduan ditetapkan untuk layak memenangi hadiah,” katanya.

Menurut Khairul Anwar, program berkenaan bukan sekadar memberi penghargaan kepada anak Pahang, malah ia juga adalah salah satu cara untuk mengembangkan bakat.

Selain itu, beliau berkata, penganjuran program juga bertujuan mempromosikan kandungan positif yang memberi manfaat kepada negeri Pahang itu sendiri.

“Daripada menghasilkan kandungan yang tidak bermanfaat, adalah lebih baik mereka menyertai pertandingan ini kerana ia dapat memberi impak positif kepada diri mereka dan negeri ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Khairul Anwar menjelaskan tiada hadiah utama ditawarkan buat masa ini, namun penganjur sedang mempertimbangkan untuk mengadakan sebuah ekspo bagi mempamerkan kesemua karya pemenang.

Orang ramai yang ingin menyertai pertandingan boleh melayari Facebook, Instagram dan Tiktok atas nama Karya Anak Pahang.

Maklumat lanjut berkaitan boleh didapati di Facebook Pahang Media.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!