Tangani isu 3M dari pelbagai sudut

Kerajaan perlu menyegerakan rancangan untuk menambah kelas prasekolah supaya seramai mungkin murid mendapat pendidikan awal sebelum melangkah ke Darjah Satu. Gambar hiasan
Kerajaan perlu menyegerakan rancangan untuk menambah kelas prasekolah supaya seramai mungkin murid mendapat pendidikan awal sebelum melangkah ke Darjah Satu. Gambar hiasan
A
A
A

SERAMAI 122,000 daripada 466,799 murid Tahun Satu sesi akademik 2024 seluruh Malaysia belum menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M).

Fakta yang dinyatakan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek itu disumbangkan oleh beberapa faktor seperti keciciran pembelajaran semasa pandemik Covid-19, kemiskinan ataupun anak-anak berkeperluan khas.

Bagaimanapun, Fadhlina menyuarakan keyakinan bahawa angka itu akan menyusut dengan beberapa inisiatif yang dilaksanakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) seperti Intervensi Literasi dan Numerasi, Program Tekad Reformasi Pendidikan serta Anak Kita.

Kesemua inisiatif itu dilihat mampu membantu lebih 120,000 murid Tahun Satu menguasai 3M.

Pada masa sama, kerajaan perlu menyegerakan rancangan untuk menambah kelas prasekolah supaya seramai mungkin murid mendapat pendidikan awal sebelum melangkah ke Darjah Satu.

Prasekolah sudah terbukti mampu menyediakan murid-murid dari aspek penguasaan 3M dan pendedahan pergaulan alam persekolahan.

Dengan adanya kemudahan prasekolah, ia dapat meringankan beban ibu bapa daripada banyak sudut.

Pertamanya, bukan mudah bagi ibu bapa untuk menghantar anak-anak ke tadika yang berkualiti dari sudut silibus, tenaga pengajar dan makanan berkhasiat seperti prasekolah.

Artikel Berkaitan:

Jika setaraf atau lebih baik, sudah pasti yuran yang dikenakan agak membebankan.

Oleh itu, adalah diharapkan dalam Belanjawan tahun hadapan, aspek pendidikan awal kanak-kanak dapat diberikan keutamaan.

Kerajaan hendaklah memberikan tambahan bajet supaya KPM dapat menambah kelas-kelas prasekolah terutamanya di kawasan bandar yang amat terhad.

Apabila dapat ditangani isu 3M di peringkat bawah, maka pihak berwajib seterusnya dapat memberikan fokus kepada isu yang lebih besar.

Contohnya menurut Pensyarah Kanan, Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad, isu paling menyedihkan ialah apabila murid Tahun Empat yang keciciran 3M.

Kesimpulannya, walaupun KPM sudah mempunyai rancangan untuk mengatasi isu 3M, ia turut menuntut bantuan semua pihak supaya masalah keciciran tidak melarat hingga menjadi masalah yang sukar diselesaikan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!