Usah kompromi peniaga restoran pengotor
KEBERSIHAN di restoran adalah aspek penting dalam industri makanan dan minuman.
Restoran yang kotor bukan sahaja boleh menjejaskan pengalaman pelanggan, tetapi juga mengancam kesihatan awam.
Seperti baru-baru ini, tular video di media sosial memaparkan seorang peniaga roti canai membasuh kuali dipercayai menggunakan air longkang hingga mencetuskan kemarahan orang awam.
Berdasarkan hantaran video yang dimuat naik seorang pengguna TikTok pada Isnin, peniaga terbabit kelihatan cuak apabila perbuatannya dirakam dan dia berlalu pergi tanpa reaksi atau penjelasan.
Bagaimanapun, lokasi kejadian tersebut tidak dapat dikenal pasti dan tidak diketahui sama ada pihak berkuasa telah mengambil tindakan atau sebaliknya.
Dalam menghadapi isu ini, tindakan daripada pihak berwajib adalah penting untuk memastikan keselamatan makanan dan memelihara reputasi industri.
Pihak berwajib seperti jabatan kesihatan, majlis perbandaran dan agensi penguatkuasaan perlu memainkan tanggungjawab untuk memastikan pengusaha restoran mematuhi garis panduan kebersihan.
Antara tindakan yang boleh diambil ialah menjalankan pemeriksaan berkala untuk menilai tahap kebersihan restoran.
Pemeriksaan tersebut meliputi keadaan dapur, penyimpanan makanan dan kebersihan pekerja.
Dalam pada itu, pihak berwajib juga wajar mengenakan denda dan penalti kepada pemilik restoran bagi pelanggaran yang lebih serius bertujuan untuk memberi amaran dan mendorong pematuhan.
Mereka juga patut dikenakan penutupan restoran sementara waktu sehingga isu kebersihan diselesaikan dalam kes di mana risiko kepada kesihatan awam sangat tinggi.
Selain penguatkuasaan, pihak berwajib juga perlu menjalankan program pendidikan untuk pemilik restoran dan pekerja mengenai kepentingan kebersihan dan keselamatan makanan.
Oleh itu, tindakan pihak berwajib terhadap restoran kotor dengan kadar segera adalah penting untuk melindungi pengguna dan memastikan standard kualiti dalam industri makanan.
Dengan adanya pemeriksaan yang ketat dan pematuhan terhadap peraturan, diharapkan restoran dapat menyediakan makanan yang selamat dan berkualiti kepada pelanggan.
Kesedaran dan tanggungjawab bersama antara pemilik restoran, pekerja dan pihak berwajib akan menjadi kunci kepada kejayaan usaha ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!